Seorang pemandu maut apabila lori yang sarat dengan muatan bijih besi yang dipandunya terjunam ke dalam gaung sedalam 10 meter di Jalan Aring-Sungai Gawi, petang Isnin.

Dalam kejadian jam 3 petang itu, mangsa yang dikenali sebagai Jeganathan Bathumalai dipercayai hilang kawalan dan terbabas sebelum terjatuh ke dalam gaung dan maut di tempat kejadian.

Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengambil masa lebih tiga jam untuk mengeluarkan mayat mangsa yang tertimbus dan tersepit di dalam muatan bijih besi itu.

Mayat dibawa ke Hospital Hulu Terengganu untuk dibedah siasat, dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, penyelia Roadcare Hulu Terengganu Nasrudin Tawang berkata, kemalangan tersebut dipercayai akibat kecuaian pemandu.
Menurutnya, walaupun papan amaran dipasang pada jarah satu kilometer, ia sering tidak diendahkan segelintir pemandu.

“Jalan ini memang kita buka kepada semua lalulintas... tak ada masalah sebenarnya. Tetapi di sini ni kawasan lencongan, papan tanda pun banyak.

“Kawasan ini kawasan yang selalu berlakunya kemalangan disebabkan oleh kenderaan yang dipandu laju,” katanya.