Cadangan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor untuk mewujudkan program penutupan jalan untuk mat motor berlumba secara 'halal' sebagai usaha mencegah kegiatan lumba haram diragui keberkesanannya.

Ini kerana golongan pelumba jalanan tegar ini lebih cenderung melakukan aktiviti yang dilarang berbanding berada di bawah kawalan, kata ahli psikologi, Dr. Abdul Jalil Hassan.

"Dari segi psikologinya, ia merupakan satu fenomena hedonisme. Secara lumrahnya, manusia lebih suka untuk menilai sesuatu yang dilarang atau tidak dibenarkan undang-undang atau masyarakat itu sebagai sesuatu yang menyeronokkan untuk dilanggar.

"Kita tahu keghairahan berlumba haram ini macam-macam. Dengan 'thrill' mencelah kenderaan lain, disaksikan orang ramai selain berlumba secara percuma, ia memang menyeronokkan bagi mereka," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

BACA: Jalan raya akan 'ditutup' untuk program lumba 'halal' mat motor - Tengku Adnan

UNDIAN: Anda setuju dengan cadangan litar tertutup untuk pelumba motosikal?

VIDEO: KPN akan jumpa Tengku Adnan bincang isu mat motor


Selain itu, habuan 'lumayan' yang mungkin tidak diperoleh dalam lumba 'halal' membuatkan lumba haram terus berlaku meskipun pelbagai usaha dan kempen telah dijalankan dalam menyedarkan golongan ini tentang bahana lumba haram.

"Mereka mahukan keseronokan bertaruh, dan diangkat serta dipuja apabila menang. Benda-benda ini tidak sama dengan apa yang ditawarkan dalam lumba 'halal'.

"Yang menjadi persoalan: sekiranya diwujudkan acara untuk mereka berlumba di bawah kawalan keselamatan dan sebagainya, adakah mereka yang sudah biasa dengan lumba haram ini akan menyertainya?

"Kemungkinan sebahagian besar daripada mereka tidak akan ke sana disebabkan 'keseronokan' itu.

"Sebelum ini pun ada usaha untuk membawa mereka ke trek-trek khas seperti trek Batu Tiga, Shah Alam dan beberapa lokasi lain, tetapi ia tidak mendapat sambutan," ujarnya.

Jelas Dr Abdul Jalil, walaupun ia tidak mampu untuk menjadi penyelesaian berkesan kepada masalah lumba haram ini, ia sekurang-kurangnya memberikan alternatif kepada mereka untuk mencuba suasana baru.


Kenal pasti platform

Bagaimanapun, ia harus dikaji dengan terperinci supaya mekanisme pelaksanaannya mampu menyediakan platform yang berupaya memberi impak kepada aktiviti dan budaya anak muda.

"Ada tempat khas disediakan, mungkin juga disediakan dengan pasukan perubatan, perlindungan insurans dan sebagainya. Mungkin perlu dipertingkatkan kesedaran terhadap kepentingan menitik beratkan ciri-ciri keselamatan dalam aktiviti perlumbaan; sebelum, semasa dan selepas.

"Sekiranya mereka betul-betul berminat dalam perlumbaan bermotor, kita boleh anjurkan acara yang melibatkan pelbagai peringkat. Ada pemilihan di peringkat kampung, kemudian menjadi wakil di peringkat daerah, negeri dan seterusnya peringkat kebangsaan.

"Kita mungkin dapat membawa mat-mat motor ini kepada kerjaya sebagai pelumba profesional. Daripada sini juga kita dapat cungkil bakat supaya menjadi pelumba bertaraf dunia satu hari nanti," jelasnya.