Menjelang permulaan musim sekolah penggal 2016, pastinya ramai antara ibu bapa sudah selesai membuat persiapan persekolahan anak-anak.

Bagaimanapun, masih ada antara mereka yang belum lagi membuat sebarang persiapan, bukan kerana memandang enteng perihal pendidikan anak-anak tetapi kerana dihimpit kesukaran hidup.

Astro AWANI menjejaki ibu tunggal yang berdepan cabaran untuk memberikan yang terbaik kepada anak-anaknya yang akan meneruskan sesi persekolahan nanti.

"Anak saya bertanya, 'kenapa anak orang lain boleh pakai beg mahal tetapi kami tidak boleh?'

"Saya bagi tahu mereka, kamu kena tengok muka mak ni, baru tahu macam mana," kata Azizah Ashaari, 52, seorang ibu tunggal beranak 14, ketika menceritakan kisahnya kepada kami.

Kini lima anaknya masih bersekolah dan Azizah terpaksa meneruskan kelangsungan hidup hanya dengan bantuan RM350 daripada Lembaga Zakat Selangor.

Keperitan hidup ibu tunggal beranak 14
Namun, Azizah akui kadang kala dia perlu berdiam diri, tidak terdaya menjawab kerana kesempitan wang membataskan dirinya memberi keselesaan hidup kepada keluarganya.

"Sedih... sebab anak-anak saya tidak macam anak orang lain. Kadang-kadang hendak pergi sekolah tidak ada kenderaan. Naik basikal, basikal pula rosak, pancit, jadi berbulan-bulan kena jalan kaki.

"Kadang-kadang mengeluh juga bila mereka tanya, 'bila nak baiki basikal?' Kita terpaksa diam, buat macam tidak tahu je," ujar Azizah ketika ditemui Astro AWANI di kediamannya di Kampung Padang Jawa di sini pada Sabtu.

Azizah mengakui dia bukan hanya bergelar ibu, malah memegang tanggungjawab bapa selain perlu menyara salah seorang anaknya yang merupakan anak kelainan upaya.

Bertambah perit, menjelang sesi persekolahan kali ini, dia hanya mampu berdiam diri apabila digasak soalan perihal persediaan sekolah buat anak-anaknya.

"Lagi seminggu hendak sekolah, mereka tanya, 'mak belum beli baju lagi ke? Macam mana ni?'

"Macam itu lah kadang-kadang. Saya rasa berat sangat, saya kena jadi mak, saya kena jadi bapa," katanya sambil menambah dia hanya mampu redha dengan ketentuan Allah yang menimpa dirinya.

Selain itu, Azizah kadang kala berasa jauh hati kerana tidak mampu memberi kesenangan hidup kepada anak-anaknya.

Pesannya, biarlah memandang mereka yang lebih susah dan bukan menyanjung mereka yang lebih mewah.

"Kita ni tidak ada (kemewahan) macam orang lain, jangan nak kita adakan, takkan hendak suruh mak minta sedekah. Makan pun kadang (tidak cukup), ramai kan... sembilan orang masih dalam jagaan, masih sekolah, (ada yang) baru hendak bekerja," katanya dalam nada sebak.

Namun hati seorang ibu, Azizah hanya mahu anak-anaknya meneruskan pendidikan walaupun serba kekurangan kerana dia percaya, ilmu mampu mengubah nasib seseorang.

Sementara itu, salah seorang anak Azizah, Fatimah Alzahra, 17, cukup matang mengerti keperitan hidup yang dilalui ibunya.

Katanya, biarlah mereka dilihat sebagai keluarga yang susah, namun itu bukan penghalang kepadanya untuk menimba ilmu.

Gadis remaja yang bakal memulakan Tingkatan Lima ini bersemangat untuk belajar walaupun kelengkapan persekolahannya masih belum disediakan.

"Nak masuk sekolah tu semangat, tetapi kami tiada duit hendak beli, jadi kami pakai yang lama sahaja. Kalau ada duit lebih baru beli yang baru," luah Fatimah yang membuat kami sebak.

Fatimah mengakui, ibunya sedaya upaya memberi yang terbaik kepada mereka 14 beradik walaupun pada hakikatnya ibunya tidak berkemampuan.


Kemiskinan bukan halangan timba ilmu

"Mak memang tidak ada duit, mak susah, tetapi mak selalu cakap dengan kami dia ada duit, yang dia OK. Sedih tengok mak macam ni.

"Mak pesan, jangan jadi macam mak, dia tidak mahu anak mak susah macam mak. Walaupun kami pergi sekolah tiada duit belanja, kami tetap pergi. Kami tidak fikir apa orang lain cakap, kami terima sahaja, kami kuatkan semangat kami. Kami hanya hendak bersekolah, kami hendak berjaya," katanya.

Apabila ditanya apa cita-citanya, Fatimah tidak menyatakan pekerjaan yang diidamnya.

Sebaliknya dia hanya menjawab ingin membantu mengubah nasib keluarganya.