Malakoff Corporation Berhad (Malakoff) menafikan dakwaan bahawa pejabatnya di KL Sentral ditutup akibat penularan koronavirus COVID-19.

β€œIa adalah berita palsu,” kata jurucakap Malakoff ketika dihubungi Astro AWANI.

Maklumat palsu tersebut menular di media sosial dan aplikasi WhatsApp susulan pejabat Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) yang turut terletak di KL Sentral sudah dikosongkan sejak Isnin akibat salah seorang kakitangannya dijangkiti virus itu.

Muat naik itu juga mendakwa bahawa pekerja-pekerja di bangunan Malakoff dikenakan perintah kuarantin dan dibenarkan bekerja di rumah.

Menurut laporan Bernama, Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah turut mengesahkan bahawa maklumat tersebut adalah tidak benar.


Sebelum ini, Khazanah Nasional Bhd dan UDA Holdings Berhad mengesahkan seorang pekerja mereka positif COVID-19 dan kini menerima rawatan di sebuah hospital kerajaan.

Pekerja Khazanah itu dipercayai kes ke-26 yang dikatakan mempunyai sejarah perjalanan ke Shanghai, China sekitar pertengahan Januari lalu.

BACA: Kakitangan Khazanah positif COVID-19

BACA: COVID-19: Ahli Lembaga Pengarah UDA disahkan positif