Mansuh tol: Terpulang kepada rakyat untuk bermimpi - Baru Bian

Firdaus Azil
Oktober 18, 2018 11:02 MYT
Kerajaan sedang mengkaji alternatif terbaik bagi mengurangkan beban rakyat berhubung isu tol, selepas penghapusannya ditangguhkan. - Gambar hiasan
Terpulang kepada rakyat untuk bermimpi melihat negara ini memiliki lebuh raya tanpa tol, namun janji untuk memansuhkan tol sedia ada memang sukar dilaksanakan, kata Menteri Kerja Raya Baru Bian.
Katanya, walaupun jelas dalam Manifesto Pakatan Harapan (PH) menyatakan mengenai pemansuhan tol seandainya mereka berjaya memerintah, namun keadaan fiskal yang meruncing tidak membenarkan perkara itu dilaksanakan buat masa kini.
“Saya katakan sekali lagi, dasar kerajaan (PH) ini jelas, dan kita tak akan hapuskan tol sampai kewangan negara pulih ke sampai satu tahap sihat.
“Mengenai soalan dibangkitkan adakah rakyat ini bermimpi untuk melihat lebuh raya tanpa tol, itu terpulang...,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Ahmad Fadhli Shaari (Pas-Pasir Mas) pada sesi Dewan Rakyat di sini hari ini.
Menjawab soalan Muslimin Yahaya (PH-Sungai Besar) apakah usaha yang sedang dijalankan untuk merealisasikan janji memansuhkan tol itu, Baru berkata, kerajaan kini sedang melihat langkah alternatif yang mungkin boleh mengurangkan beban rakyat dalam isu berkenaan.
“Dimaklumkan, kerajaan sekarang ini tidak akan hapuskan tol. Tetapi kita masih dalam perbincangan, di mana kita mencari alternatif.
"Ia seperti merendahkan kadar tol. Mungkin ada flat rate. Mungkin beri 20 peratus diskaun sewaktu bukan waktu puncak misalnya. Dan mungkin tak akan naikkan dalam masa dua tiga tahun,” katanya lagi.
Namun, perkara itu masih dalam perbincangan dengan semua pihak berkepentingan, jelasnya.
#Baru Bian #Dewan Rakyat #lebuh raya #Manifesto #mansuh tol #Pakatan Harapan #tol
;