Masyarakat di pedalaman Sabah perlu dibimbing mengenai manfaat mencarum dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), kata aktivis sosial dan hak pengguna Sabah Datuk Patrick Sindu.

Katanya, kebanyakan masyarakat di pedalaman bekerja sendiri dalam bidang pertanian dan lazimnya meraih pendapatan yang kecil.

"Ini kerana hasil tani mereka dijual di pasar mingguan yang hasil pendapatan mereka hanya cukup untuk memenuhi keperluan keluarga dan ada juga tuaian mereka itu untuk kegunaan sendiri.

"Mereka tidak tahu manfaat mencarum untuk hari tua dan bagaimana KWSP boleh membantu mereka meningkatkan jumlah simpanan menerusi pelaburan," katanya kepada Bernama.

Oleh itu, beliau mencadangkan KWSP mengadakan program berbentuk 'turun padang' secara kerap bagi mendekati masyarakat bekerja di pedalaman dan menerangkan cara terbaik merancang kewangan untuk hari tua mereka.

"Dengan program kesedaran seperti ini, mudah-mudahan kita dapat mengurangkan masalah kemiskinan yang masih ketara di kawasan pedalaman.

"Ini kerana pendidikan kewangan yang disampaikan oleh KWSP akan menggalakkan masyarakat supaya lebih bijak menguruskan kewangan mereka," katanya.

Di samping itu, Patrick berkata pendidikan seumpama itu akan menjadikan masyarakat bekerja lebih peka terhadap tanggungjawab majikan mereka mencarum di KWSP.

Beliau berkata pendidikan juga akan memperkasakan pekerja untuk mengenal pasti jika hak mereka untuk mencarum di KWSP diabaikan oleh majikan.

"Mengikut analisis saya sendiri dan maklumat yang saya terima sejak bertahun lalu, ada juga majikan yang menipu pekerja kononnya majikan telah mencarum, tetapi tidak ada rekod dengan KWSP.

"Selain mengadakan program kesedaran, ada baiknya juga kalau pegawai penguat kuasa daripada KWSP sendiri turun padang untuk membuat pemeriksaan ke atas majikan yang ingkar," ujarnya.

Seorang pencarum Rozie Jumat, 40-an, yang aktif dalam kegiatan berkaitan sosioekonomi pedalaman berkata, semakin ramai masyarakat di kawasan itu mula mengetahui kepentingan menyimpan di hari tua menerusi agensi berkaitan seperti KWSP.

"Ia bermula dengan maklumat yang dibawa dari mulut ke mulut. Orang bercakap mengenai kemudahan mengeluarkan wang simpanan daripada akaun KWSP untuk membayar wang pendahuluan pembelian rumah atau untuk membina rumah.

"Minat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai produk KWSP sudah ada berbanding beberapa tahun lalu yang mana kebanyakan masyarakat pedalaman menganggap mencarum di KWSP tidak penting," jelasnya.

Rozie berkata kebanyakan masyarakat pedalaman mempunyai tanah sendiri dan mengimpikan rumah besar bagi membolehkan keluarga serta sanak saudara berkumpul beramai-ramai.

"Dalam era moden ini, ramai belia pedalaman meninggalkan kampung halaman dan berhijrah ke bandar untuk mencari rezeki dan ada juga memilih untuk berkeluarga di bandar.

"Ini mendorong ibu bapa mereka yang meningkat usia di kampung membina rumah besar dan selesa bagi anak-anak dan cucu-cucu berkumpul pada sesuatu perayaan atau majlis keramaian," katanya.

Juruteknik penyelenggaraan pesawat sebuah syarikat penerbangan Mohd Rhafie Ahmad, 37, antara penduduk yang berasal dari kawasan pedalaman yang mengakui selesa dengan mencarum di KWSP.

Katanya, simpanannya dalam KWSP penting baginya memenuhi impian untuk memperbanyakkan ibadah dan amal jariah di hari tua kelak.

Ayah kepada dua anak perempuan itu berkata beliau merancang untuk menghabiskan persaraannya dengan menunaikan ibadah umrah dan haji dan mendidik masyarakat Islam menerusi pembinaan sekolah maahad tahfiz di kampungnya iaitu Kampung Tetabuan di Pulau Tetabuan, Beluran.

"Saya bersyukur kerana diberi kemampuan untuk menyediakan kehidupan selesa kepada keluarga saya dan dibantu pula dengan khidmat yang tersedia oleh KWSP seperti kemudahan pengeluaran wang dari akaun kedua untuk membeli rumah dan pelaburan untuk meningkatkan simpanan saya.

"Dengan kemampuan ini, saya yakin dapat menyumbang kepada kemajuan agama di kampung saya dengan wang simpanan saya di KWSP selepas saya bersara kelak," katanya.

-- BERNAMA