Seorang nelayan yang dilaporkan hilang ketika keluar menangkap ikan di muara Kuala Kedah sejak petang semalam ditemui lemas hari ini.
Mayat Nordin Saad, 52, ditemui terapung pada jam 12 tengah hari Sabtu kira-kira dua batu nautika dari tempat mangsa dipercayai terjatuh.
Menurut Timbalan Pengarah Operasi Zon Maritim Kuala Kedah, Leftenan Maritim Khairil Izhar Norazemi, mayat ditemui oleh bot nelayan tempatan yang turut serta dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR).
Katanya, operasi dilakukan sejak petang semalam melibatkan empat agensi penyelamat dan turut dibantu Jabatan Perikanan Kedah.
Beliau berkata, operasi ini membabitkan lima aset dua daripada Maritim Malaysia, masing-masing sebuah bot dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah dan Jabatan Perikanan Kedah.
Operasi membabitkan seramai 32 anggota termasuk pegawai dari lima agensi berkaitan.
Mayat kemudiannya diserahkan kepada polis sebelum dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk bedah siasat.
Khairil Izhar berkata, ketika kejadian petang semalam, amaran ribut di laut sudah dikeluarkan dan ombak kuat berlaku pada waktu tengahari.
Menurut beliau, mangsa dipercayai tergelincir ketika mengemudi bot sewaktu kejadian berlaku.
Operasi SAR kali ini antara yang terpantas menemui mayat mangsa dalam tempoh 24 jam selepas mangsa dilaporkan terjatuh.