Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee menyifatkan media terutama media sosial sengaja membesar-besarkan isu hubungan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Tegasnya, ia dilihat cenderung kepada portal berita pro-pembangkang yang sengaja mengeksploitasikan isu tersebut untuk menjatuhkan Perdana Menteri.

"Pihak yang sengaja menyerang kepimpinan Najib mengambil kesempatan memanipulasikan isu tersebut supaya pentadbirannya dilihat sebagai lemah.

"Ini semua sebahagian daripada taktik pembangkang, saya berharap ahli-ahli UMNO dan rakyat keseluruhannya tidak terpedaya," tegasnya dalam catatan terbaharu di blog http://umnobahagiancheras.blogspot.com.

Jelas Syed Ali, asalnya Dr. Mahathir hanya memberikan pandangan dan teguran membina terhadap pentadbiran Najib, tetapi telah diputarbelitkan secara meluas oleh pihak media seolah-olah berlaku pertelingkahan antara mereka.

"Keadaan menjadi bertambah kusut apabila media sosial terutama portal berita mengambil kesempatan membuat laporan berunsur fitnah dan serangan peribadi terhadap Najib.

"Kecenderungan pihak media sengaja mensensasikan isu tersebut dikhuatiri akan memberi persepsi negatif rakyat terhadap kerajaan dan UMNO itu sendiri.

"Dr. Mahathir dan Najib adalah pemimpin UMNO, mereka telah menyumbang banyak jasa kepada parti dan negara," tegasnya.

Bagimanapun Syed Ali mengakui, peranan media masih relevan terhadap kesuburan berpolitik di negara ini namun kaedah dan tatasusilanya hendaklah dikawal sejajar dengan peruntukan undang-undang sedia ada.

"Kebebasan media dan hak bersuara tidak pernah disekat oleh kerajaan tetapi kebebasan dan hak tersebut ada batasnya.

"Pihak media boleh berikan pandangan dan kritikan asalkan membina, tetapi apabila bertindak sebagai batu api atau tukang hasut, kerajaan perlu mengambil tindakan," tegasnya.

Ketika mengulas isu hubungan Dr.Mahathir dan Najib, Syed Ali berpendapat ada pihak sengaja membesar-besarkannya dengan cerita-cerita 'rekaan' untuk memburukkan UMNO dan kerajaan.

"Kita sedar, ada pihak tertentu cuba menangguk di air keruh dalam isu tersebut, ini semua bertujuan untuk menghancurkan UMNO dan seterusnya meruntuhkan kerajaan yang dipilih oleh rakyat," tegasnya.

Sehubungan itu, Syed Ali berharap pengamal media termasuk pengendali portal berita agar lebih beretika dan tidak menjuruskan kepada serangan peribadi dan tohmahan liar terhadap mana-mana pemimpin termasuk Najib, yang juga Presiden UMNO.

"Pentadbiran Najib tidak takut kepada kritikan dan teguran yang dibuat oleh mana-mana pihak termasuk Dr. Mahathir jika ianya bermanfaat kepada kepentingan rakyat dan negara.

"Kerajaan Barisan Nasional (BN) dan UMNO khususnya bukan sehari dua mentadbir negara ini, sudah puluhan tahun dan telah menempoh pelbagai halangan dan dugaan. Pihak berkepentingan cuba menangguk di air keruh," ujarnya.

Tambahnya yang juga yang juga Setiauisaha Badan Perhubungan UMNO/BN Wilayah Persekutuan, UMNO kini sudah cukup matang dalam menangani pelbagai kerenah dan cabaran getir malah pernah diharamkan pendaftarannya oleh pihak mahkamah sedikit masa dulu.

"UMNO terus bangkit dan mampu bertahan sehingga kini kerana pemimpin dan ahli-ahlinya di akar umbi sentiasa komited kepada perjuangan parti," tegasnya.

Tetapi katanya, serangan politik bersifat peribadi terhadap Najib dan keluarganya dilihat merupakan satu perbuatan keterlaluan.

Dalam perkembangan berkaitan, Syed Ali bersetuju dengan penjelasan Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC), Tan Sri Shahril Abdul Samad bahawa tidak wujud sebarang gerakan untuk menjatuhkan Najib.

"Ini satu lagi bentuk khabar angin dan provokasi yang sengaja dicanangkan oleh pihak tertentu untuk merosakkan UMNO.

"Tidak ada sebab mengapa Najib perlu diturunkan sebagai Perdana Menteri hanya disebabkan beberapa isu yang berbangkit sudah pun dijawab secara terbuka oleh beliau.

"Jutaan rakyat Malaysia sudah dengar penjelasan Najib yang disiarkan secara langsung menerusi televisyen, menjawab beberapa tuduhan dan fitnah terhadap beliau," tegasnya.