Kenangan 66 bulan Allahyarham Datuk Fuad Hassan memegang jawatan Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) yang diabadikan dalam buku bertajuk 'Memoir 66 Bulan' memberi makna kepada perjuangan dan erti kesetiaan kepada bangsa.

Buku setebal 46 halaman dicetak untuk tatapan keluarga besar Allahyarham, rakan-rakan dan pegawainya di Jasa yang ingin menghayati perjuangannya sepanjang 66 bulan di Jasa.

Ia juga merupakan catatan tentang pengalaman dan catatan masa Allahyarham di Jasa sejak 16 Julai 2009 hingga 7 Disember 2014.

Menurut kumpulan penulis buku berkenaan, apa yang ditekankan di dalam buku berkenaan adalah prinsip perjuangan dan petikan kata kata Allahyarham sepanjang bertugas.

"Antara yang biasa diucap Fuad adalah 'Aku hanya orang biasa. Ketahuilah sesaatpun aku tak pernah mengkhianati tanah air dan bangsaku. Aku bersyukur kepada tuhan yang menyelamatkan perjuanganku," kata penulis yang enggan dikenali.


Buku 'Memoir 66 bulan' yang memaparkan aspirasi dan semangat Allahyarham Datuk Fuad Hassan sepanjang menjadi Ketua Pengarah Jasa - Gambar fail

Kata penulis berkenaan, buat permulaan buku itu diterbitkan hanya untuk tatapan rakan dan ahli keluarganya.

"Di dalam buku tersebut juga turut memuatkan rahsia mengapa Allahyarham memilih untuk menjadi Ketua Pengarah Jasa, mengapa Allahyarham gemar meniup saksafon selain gambar- gambar Allahyarham bersama pemimpin masyarakat.

"Memoir ini adalah mengenai pencapaian dan impian Allahyarham semasa di Jasa, ia turut memuatkan kebanggaan dirinya sebagai insan biasa yang mahu melakukan sedaya mungkin demi sebuah perjuangan.

"Ia turut memuatkan aspirasi Allahyarham selain janjinya untuk tidak mengkhianati bangsa dan negara," katanya.

Jawatan Allahyarham Fuad kini diganti Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi.

Fuad meninggal dunia pada 8 Disember tahun lepas di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) akibat serangan sakit jantung. Beliau berusia 62 tahun.

Allahyarham diserang sakit jantung semasa menghadiri majlis penutup sempena Program Pemukiman Transformasi Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) di Awana Kijal, Kemaman, Terengganu pada hari sebelumnya.

Allahyarham Fuad, 62, adalah anak kedua kepada tokoh agama dan pengajian Al-Qur'an terkenal iaitu Tan Sri Hassan Azhari.

Allahyarham juga adalah abang kepada pelakon terkenal Datuk Jalaluddin Hassan dan adik kepada bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.

Bekas lulusan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu dua hari yang lalu telah menghadiri program kementerian di Kemaman, Terengganu dan telah dimasukkan ke Hospital Kemaman pada Sabtu sebelum dipindahkan ke Kuantan untuk rawatan lanjut setelah terkena serangan sakit jantung.

Sebelum dilantik sebagai ketua pengarah Jasa, bekas lulusan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu juga pernah menjadi ahli Dewan Undangan Negeri Hulu Klang selama dua penggal.