Ini termasuk penyalahgunaan kewangan oleh pasangan seperti menggunakan wang pasangan tanpa kebenaran atau memaksa pasangan memohon pinjaman untuk kegunaan sendiri.
Tingkah laku begini bertujuan untuk meraih kuasa dan mengekalkan kawalan terhadap pasangannya.
Ini berpunca daripada rasa cemburu, rendah diri apabila pasangan lebih berpendidikan tinggi atau berpangkat serta kesukaran untuk mengawal emosi.
Ia biasannya berulang dan berterusan sehingga menjadi sesuatu yang lazim dalam rumah tangga tersebut.
Kebanyakan pendera terdiri daripada golongan lelaki tetapi ada juga kes di mana wanita yang menjadi pendera.
Organisasi wanita di Malaysia telah mengambil masa hampir satu dekad untuk memperjuangkan isu ini sebelum Akta Keganasan Rumah Tangga diluluskan pada tahun 1994.
Dengan adanya Akta Keganasan Rumah Tangga 1994, keganasan rumah tangga kini merupakan satu jenayah di bawah Kanun Keseksaan.
Kebelakangan ini terdapat banyak perbincangan mengenai isu keganasan rumah tangga sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di media massa.
Ini ekoran berlakunya peningkatan kes keganasan rumah tangga yang dilaporkan hampir di seluruh dunia.
Dilaporkan bahawa terdapat peningkatan sebanyak tiga kali ganda kes keganasan rumah tangga yang dilaporkan di Hubei, China sejak diletakkan di bawah perintah berkurung (lockdown) ekoran wabak COVID-19.
Di Perancis pula, terdapat peningkatan sebanyak 32 sehingga 36 peratus sejak perintah kawalan pergerakan dijalankan.
Ini turut dilihat di negara-negara lain seperti Sepanyol, Greenland dan Tunisia.
Terdapat dua kes kematian akibat penderaan dilaporkan di Perancis dan satu kes di Sepanyol yang menunjukkan betapa seriusnya perkara ini dan keperluan untuk ianya diberikan tumpuan.
Apakah situasi di Malaysia sebelum ini?
Menurut kajian yang dibuat pada tahun 2014 oleh Pusat Penyelidikan Wanita dan Gender (KANITA) di Universiti Sains Malaysia (USM), sembilan peratus daripada wanita yang pernah berpasangan di Semenanjung Malaysia mengalami keganasan rumah tangga pada suatu ketika dalam hidup mereka.
Terdapat peningkatan dalam bilangan kes-kes keganasan rumah tangga yang dilaporkan kepada polis saban tahun.
Pada tahun 2010, terdapat 3,173 kes keganasan rumah tangga telah dilaporkan, namun bilangan ini meningkat kepada 5,014 kes pada tahun 2015.
Menurut bahagian Komunikasi Korporat Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, panggilan ke Talian Kasih bertambah sebanyak 57 peratus sejak PKP.
Bagaimanapun, panggilan serta mesej WhatsApp ke talian bantuan Pertubuhan Pertolongan Wanita atau Womens Aid Organization (WAO) berkurang kepada 73 panggilan dalam seminggu sepanjang PKP.
Sebelum PKP dikuatkuasakan pada 18 Mac lalu, WAO menerima purata 77.5 panggilan dan mesej menerusi WhatsApp dalam seminggu.
Bagaimanapun, pengurangan ini bukan bermaksud terdapatnya pengurangan kes kerana dikhuatiri mangsa tidak dapat membuat panggilan disebabkan oleh situasi di mana mereka sentiasa berada bersama pendera sewaktu tempoh PKP ini.
WAO menjangkakan berlakunya peningkatan jumlah panggilan apabila tempoh PKP ditamatkan.
Punca keganasan
Terdapat banyak punca yang dikaitkan dengan keganasan rumah tangga. Ia boleh dibahagikan kepada faktor persekitaran dan individu.
Mereka yang dibesarkan dalam suasana penderaan, sama ada menyaksikan atau menjadi mangsa dera dan mereka yang diajar agar tidak menghormati wanita atau merasakan wanita lebih rendah tahapnya; mempunyai potensi yang tinggi untuk melakukan keganasan rumah tangga.
Individu yang mempunyai kecelaruan personaliti, mengambil alkohol dan dadah turut berpotensi.
Wanita yang dibesarkan dalam suasana penderaan pula cenderung untuk percaya bahawa penderaan adalah perkara lazim dalam rumah tangga.
Statistik tahun 2019 menunjukkan bahawa punca utama keganasan rumah tangga adalah sikap panas baran, perselisihan faham serta penagihan dadah.
Melihat kepada punca tersebut, dapat difahami mengapa boleh berlaku peningkatan kes keganasan rumah tangga sewaktu PKP iaitu:
1) Pendera sentiasa berada bersama mangsa serta menghabiskan masa yang banyak bersama menyebabkan peluang untuk konflik berlaku adalah lebih tinggi.
2) Pengasingan sosial menyebabkan tiada saluran lain untuk menghilangkan stres.
3) Masalah kewangan serta ketidaktentuan masa depan menimbulkan konflik yang ketara.
4) Persekitaran rumah yang sempit atau tidak kondusif menyebabkan berlakunya rasa lemas apabila berada di rumah.
5) Kesukaran mendapatkan bekalan dadah di kalangan penagih disebabkan faktor kewangan dan situasi semasa.
Apa yang menjadi kebimbangan kepada kita adalah pada ketika PKP ini, mangsa tidak boleh lari dari situasi tersebut, tiada sokongan daripada orang lain serta tiada tempat untuk mengadu kerana banyak perkhidmatan yang tidak beroperasi.
Kebergantungan mangsa kepada pendera mungin memburukkan lagi situasi ini.
Di Eropah, kebanyakkan rumah kebajikan dan perlindungan serta talian bantuan masih lagi beroperasi ketika wabak ini.
Bagaimanapun, penggunaan pusat perlindungan sewaktu penularan wabak COVID-19 turut mempunyai isu yang tersendiri.
Ini kerana tempat yang padat serta sesak akan memudahkan penyebaran penyakit dan langkah berjaga-jaga juga harus diambil.
Manakala di Greenland, pengharaman jualan alkohol telah dibuat akibat peningkatan kes rumah tangga yang dilaporkan.
Di Perancis pula, kerajaan telah menubuhkan pusat bantuan di kedai runcit dengan kata kunci rahsia untuk membantu mangsa mendapatkan pertolongan.
Ini kerana kebanyakan pejabat kebajikan serta pusat perlindungan ditutup sewaktu PKP.
Kerajaan Perancis turut menawarkan pembayaran penginapan bilik hotel untuk mangsa serta membuka pusat kaunseling 'pop-up' selepas kes keganasan rumah tangga meningkat mendadak pada minggu pertama PKP.
Di Sepanyol pula, mangsa penderaan boleh pergi ke farmasi dengan menggunakan kod rahsia ‘Mask 19’.
Kod ini akan membolehkan farmasi menghubungi pihak berkuasa tanpa diketahui oleh pendera.
Di Taiwan, The Asian Network of Womens Shelters menawarkan seminar secara dalam talian (webinar) bagi membuat persediaan untuk melindungi wanita daripada keganasan rumah tangga.
Mereka telah berkongsi mengenai strategi yang dijalankan oleh pusat-pusat perlindungan di Taiwan untuk membersihkan pusat tersebut serta membendung penularan wabak yang dilakukan ketika berlakunya wabak SARS pada tahun 2003 serta wabak coronavirus ketika ini.
Apakah yang boleh dilakukan jika anda merupakan mangsa keganasan rumah tangga?
1) Dapatkan bantuan perubatan.
Jika anda mengalami kecederaraan, anda boleh pergi ke Jabatan Kecemasan dan Trauma di hospital kerajaan terdekat untuk rawatan perubatan.
Anda akan dirawat di bilik khusus yang dipanggil Pusat Krisis Bersepadu (OSCC). Sekiranya terdapat kaunter polis di hospital, laporan polis boleh dibuat dan mereka akan memberi anda Borang 59 di mana doktor akan mencatatkan kecederaan yang dialami.
2) Dapatkan bantuan daripada talian bantuan awam atau NGO.
Anda juga boleh menghubungi Talian Kasih KPWKM di 15999 atau mana-mana organisasi wanita yang menawarkan bantuan seperti WAO.
3) Buat laporan polis.
Anda boleh pergi ke mana-mana balai polis untuk membuat laporan. Nyatakan kejadian dengan jelas termasuk tarikh dan masa penderaan bagi membantu tugas penyiasatan.
4) Rancang laluan keselamatan.
Sediakan pelan atau rancangan sekiranya anda terpaksa meninggalkan rumah secara tiba-tiba atas sebab keselamatan diri.
Pastikan anda mempunyai kunci rumah untuk keluar dari rumah. Simpan nombor telefon penting dengan anda pada setiap masa.
Ini termasuk keluarga terdekat, sahabat, polis dan hospital. Harus diingat bahawa keganasan rumah tangga bukan sesuatu perkara yang normal serta tidak boleh diterima walau apa pun alasannya.
Mangsa penderaan boleh mengalami gangguan mental yang berpanjangan akibat penderaan seperti kemurungan serta kecelaruan stres pasca trauma.
Oleh itu, pastikan bahawa mereka yang terlibat dibantu serta diberikan sokongan agar dapat menjauhkan diri dari situasi tersebut.
* Dr Firdaus Abdul Gani adalah Setiausaha Persatuan Psikiatri Malaysia (MPA)
** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI