Sebenarnya, tulang belakang untuk menuju ke arah usaha tersebut adalah pendidikan.
Aspirasi Almarhum Tunku Abdul Rahman itu turut diakui cucunya, Tunku Munawirah Putra, yang sedari awal merasai arus motivasi tersebut dalam susur galur keluarganya.
“Almarhum (Tunku) memang mengutamakan soal pendidikan. Sejak kecil, rekod pendidikan Tunku bermula di sekolah aliran Inggeris, Melayu, malah pernah ke sekolah di Thailand kerana ibunya berasal dari sana.
"Almarhum juga berjaya menerajui pendidikan ke peringkat tinggi di Eropah dan tidak ramai anak Melayu yang mendapat peluang sebegitu,” ujar beliau yang kini memegang peranan aktif dalam Parent Action Group for Education Malaysia (PAGE).
Walau bagaimanapun, untuk meraih rekod pencapaian pendidikan yang baik bukanlah satu tekanan dalam ahli keluarga negarawan itu.
“Sebab kita sudah tahu dia mendapat tahap tertinggi dalam pelajaran, maka kami pun sedar sendiri bagaimana hendak menjadi seperti itu. Nenda saya mainkan peranan menggalakkan.
“Tapi dia tradisional sedikit, kalau dalam rumah kami bercakap Bahasa Melayu sesama ahli keluarga dan sepupu dalam loghat Kedah,” imbas Tunku Munawirah.
Meskipun begitu, kepentingan Bahasa Inggeris tetap ada. Kata Tunku Munawirah, nendanya akan menegur ahli keluarga yang bercakap Bahasa Melayu sewaktu ada tetamu di dalam rumah.
Bagi Tunku Abdul Rahman, adalah tidak sopan jika membiarkan tetamu tidak faham apa yang diperkatakan.
"Secara tidak langsung, kami terbiasa dengan kedua-dua bahasa,” ujar Tunku Munawirah.
Asas kukuh negara
Ditanyakan mengenai kaitan pendidikan dengan perjalanan sebuah negara, Tunku Munawirah memberitahu, nendanya mengutamakan pendidikan yang berkualiti tinggi kerana percaya bahawa ia adalah asas kepada negara yang berkembang pesat.
Tunku Munawirah percaya, semangat pendidikan nendanya itu banyak membentuk acuan dan seterusnya mencorak pentadbiran negara ini.
“Semasa menjadi Perdana Menteri, Almarhum mahukan negara ini berkembang pesat dengan aman damai, dan rakyatnya hidup dengan menjalin harmoni serta memiliki kepandaian untuk mendirikan negara.
Baginya, pendidikan adalah asas membina negara yang sihat.
“Pendidikan bagi Almarhum, dapat memupuk rakyat yang berbilang kaum agar setia kepada negara. Dengan minda yang sihat, kita dapat membina negara dengan baik,” ujar beliau.
Tunku Munawirah memetik kata-kata nendanya: "Pendidikan di peringkat apa pun dapat membentuk atau menjatuhkan seseorang, sama juga ia dapat membina atau memusnahkan sesebuah negara."
“Pemimpin-pemimpin sedar akan keadaan ini, itulah sebabnya mereka memastikan anak-anak mereka mendapat pendidikan sebaik mungkin. Tetapi pada masa yang sama, anak-anak di kampung tidak mempunyai peluang yang sama,” jelas Tunku Munawirah.
Jadi itulah objektif Tunku Abdul Rahman, iaitu mahu mencari formula untuk menawarkan pendidikan yang terbaik untuk semua.
“Kata nenda saya lagi, ‘half an education is not an education at all’. Ia umpama nasi yang separuh masak. Kalau makan nasi yang separuh masak, orang itu akan sakit. Badan dan minda juga tidak sihat.
‘Polisi pendidikan, sebagai contoh, perlu menjadi sesuatu yang membuatkan rakyat negara ini berasa pintar dan membolehkan mereka mencapai aras yang tertinggi jika boleh. Kerajaan harus merancang dengan berhati-hati dan perlu memikirkan dengan teliti sebelum membuat sebarang perubahan drastik’ ~ Tunku Abdul Rahman - Foto sumber Tunku Munawirah Putra
Bahasa pengantar
Beliau berkata, apabila bahasa pengantar dalam sistem pendidikan telah beralih daripada Bahasa Inggeris ke Bahasa Melayu, nendanya agak skeptikal.
“Nenda saya berkata, kalau hendak ubah sistem pendidikan, adakah betul formula itu? Kenapa mengubah sesuatu yang telah terbukti berfungsi untuk kita?” kata beliau.
Menurut Tunku Munawirah, status bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan harus ketahui dan dipersetujui oleh semua kaum di negara ini. Namun, bahasa Inggeris harus dikuasai untuk meraih pendidikan dan pengetahuan yang mendalam, seterusnya mencetus pemikiran intelek.
Katanya, Almarhum Tunku tegar dengan pendapat bahawa bahasa pengantar di universiti harus dikekalkan dalam bahasa Inggeris kerana buku rujukan ilmiah dalam bahasa Melayu tidak mencukupi. Maka, untuk mendalami lebih ilmu pengetahuan, bahasa Inggeris perlu diberi perhatian.
Mengenai isu PPSMI
Dalam hal berkaitan, Tunku Munawirah turut menzahirkan rasa kecewanya apabila diminta mengulas mengenai isu pemansuhan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).
“PPSMI ini polisi Tun Mahathir seperti yang kita ketahui, tetapi Almarhum nenda pun pernah dalam catitan jurnalnya sekitar tahun 1977 mengatakan bahasa subjek Sains dan Matematik perlu dikekalkan dalam bahasa Inggeris,” ujar beliau.
Tambah Tunku Munawirah yang sependapat dengan nendanya, untuk mengikut arus perkembangan sains dan teknologi yang pantas, seseorang itu perlu memahami bahasa Inggeris agar selari dengan perkembangan itu dan bukannya berada di belakang kerana kekangan bahasa.
“Polisi PPSMI bagus tapi memang ada cabaran untuk menguasai bahasa Inggeris. Ada sesetengah pelajar yang mempunyai masalah untuk beralih daripada loghat negeri kepada bahasa Melayu standard, inikan pula ke bahasa Inggeris.
“Tambahan pula, sewaktu ia mula diperkenalkan, pengajaran ada disertai alat bantu mengajar, tapi saya rasa ketika itu masa pembelajaran terlalu suntuk untuk menyediakan semuanya, maka guru selesa untuk bercakap sahaja,” ulasnya.
Tunku Munawirah bagaimanapun mengakui bahawa tenaga pendidik juga mempunyai masalah penguasaan bahasa Inggeris.
“Tetapi tenaga pendidik itu lama-kelamaan turut dapat perbaiki kemampuan dan kefahaman mereka sepanjang PPSMI berlangsung. Sayang sekali, jangka hayat PPSMI sekejap sangat dan ia dimansuhkan,” ujar Tunku Munawirah.
Tunku Munawirah sentiasa menaruh harapan agar dalam setiap sesuatu perkara yang dibuat di negara ini perlu dicari keseimbangannya dan difikirkan dahulu tentang sasaran yang hendak dicapai.
“Pendidikan untuk negara hendaklah mencerminkan apa yang rakyat mahu dan apa yang rakyat perlu tahu,” kata Tunku Munawirah.
Tunku Munawirah menaruh harapan agar dalam setiap sesuatu perkara yang dibuat di negara ini perlu dicari keseimbangannya dan difikirkan dahulu tentang sasaran yang hendak dicapai. - Foto Astro AWANI/Shahir Omar
Latihan tenaga pendidik
Tunku Munawirah tetap yakin bahawa tenaga pendidik khususnya guru sekolah di negara ini mampu menggalas tanggungjawab dalam sistem pendidikan yang sering berubah dimensi.
“Berikan mereka lebih motivasi. Tunjukkan mereka kaedah yang betul. Kita tidak boleh sekadar memberi arahan kepada mereka sebaliknya harus disertakan bimbingan.
“Oleh sebab itu kami amat menyokong program Sekolah Amanah kerana ia menyediakan metodologi untuk guru-guru dapatkan mentorship dan bimbingan. Maka guru akan berasa lebih selesa dan tidak rasa bersendiri,” jelas beliau.
Projek Sekolah Amanah bertujuan mengangkat status quo sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan menerusi inisiatif khusus supaya setanding dengan sekolah-sekolah swasta.
Tunku Munawirah mengulangi kepercayaannya bahawa terdapat ramai guru yang berkebolehan. Semua pihak mahukan yang terbaik namun ada beberapa perkara yang menjadi kekangan.
Beliau berpendapat, dalam usaha meningkatkan standard sistem pendidikan negara, mungkin boleh difikirkan untuk menaikkan kelayakan tenaga pengajar pada tahap paras akademik tertentu, menambah pelbagai insentif dan memperkasa modul latihan perguruan.
Tambahnya, sebelum memikirkan tentang pencapaian para pelajar, barisan tenaga pendidik seharusnya disiapkan terlebih dahulu. Latihan mereka harus yang unggul dan diiktiraf mengikut piawaian dunia.
Kuasai ilmu dan bahasa
Sewaktu akhir pertemuan dengan Astro AWANI, Tunku Munawirah sempat berpesan mengenai kepentingan menguasai bahasa Inggeris yang harus wujud selari dengan rasa bangga pada bahasa kebangsaan.
Ikuti pesanan beliau dalam video berikut:
Kata-kata daripada Almarhum Tunku Abdul Rahman yang perlu kita hayati intipatinya:
"Saya terus perjuangkan bahasa Inggeris agar kekal menjadi bahasa perantaraan di peringkat pengajian tinggi dan bahasa Melayu terus menjadi bahasa kebangsaan.
"Saya percaya ia akan membawa kebaikan kepada negara kita. Ia akan membantu orang Melayu untuk membaiki prospek mereka dalam kehidupan. Jika tidak, ia akan kekal tidak berubah, sedangkan orang lain mampu meraih pengajian peringkat lebih tinggi dengan wang yang mereka ada."