Mengambil kira bidang seni bina sebagai antara sektor penting dalam memacu Malaysia ke arah negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020, UDA mengambil inisiatif untuk mengenal pasti, memupuk serta membangunkan bakat-bakat muda tempatan.
“Kita cuba melahirkan lebih ramai arkitek yang mampu berdaya saing dan berkualiti tinggi, di samping berupaya menghasilkan rekaan moden yang memiliki nilai estetika dan komersial.
“Arkitek bukan sahaja bertanggungjawab dalam melakar reka bentuk sesebuah bangunan malah bertanggungjawan dalam mewujudkan persekitaran dalaman dan luaran menarik yang memenuhi keperluan serta cita rasa pengguna,” ujar Pengarah Urusan UDA, Ahmad Abu Bakar dalam ucapan pelancaran pertandingan tersebut di sebuah majlis di ibu negara.
Inisiatif tersebut yang menjadi sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) UDA secara tidak langsung membantu penciptaan generasi baharu pereka dan arkitek berlandaskan kekuatan daya kreativiti dan inovasi.
Sementara itu, menurut Pengarah Bahagian Perhubungan Industri, Kementerian Pendidikan, Prof. Madya Dr. Arham Abdullah, reka bentuk yang dihasilkan kumpulan peserta yang bersaing dalam SDC akan dinilai berdasarkan kreativiti, inovasi, estetika dan nilai komersial.
“Penilaian tersebut dibahagikan kepada tiga aspek iaitu 60 peratus pembangunan kreatif, promosi dan maklumat terkini projek melalui media sosial (20 peratus) dan persembahan video 20 peratus). Setiap kumpulan akan diberikan kit permulaan buat mereka memahami tugasan yang bakal mereka laksanakan dalam jangka masa kira-kira dua bulan.
“Pemenang pertandingan bukan sahaja mendapat habuan hadiah bernilai RM50,000 malah ditawarkan peluang sebagai pelatih dan ditempatkan bersama pasukan projek UDA. Ini tentunya satu permulaan yang baik dalam kerjaya mereka,” ujar beliau yang bertindak selaku salah seorang juri pertandingan tersebut.
Tinjau prospek
Bagi salah seorang peserta dari Universiti Sains Malaysia (USM), Monica Caroline Shenton, 23, penyertaan dalam pertandingan tersebut dianggap sebagai peluang untuknya mencabar potensi diri selain meninjau prospek kerjaya dalam bidang seni bina.
Monica mengintai peluang meraih ilmu seni bina. - Astro AWANI/Shahir Omar
“Banyak yang akan dirancang bersama ahli kumpulan dan kami berdepan dengan cabaran iaitu mengimbangi jadual kuliah dan dalam masa yang sama menyiapkan tugasan pertandingan dalam tempoh masa yang diberikan. Banyak yang akan kami pelajari dan ini juga kesempatan bagi kami mendekati realiti dunia kerjaya kami nanti.
“Bidang seni bina merupakan jurusan ilmu yang istimewa kerana ia bukan sekadar menggabungkan seni dan teknikal, malah ia menjalinkan pelbagai disiplin yang berbeza,” ujarnya yang bakal menggalas cabaran pertandingan tersebut bersama empat ahli kumpulannya yang lain.
Mengulas tentang soal bangunan dan pembangunan, Monica mempunyai falsafah tersendiri yang dipegang dalam bidang pengajian dan seterusnya kerjayanya suatu hari nanti.
“Ramai yang bercakap tentang aspek kemampanan. Ia adalah perkara utama yang perlu diambil perhatian supaya setiap sesuatu yang dibangunkan itu tidak meninggalkan kesan yang bersifat menjejas, sebaliknya kewujudan pembangunan itu mampu meningkatkan kualiti kehidupan manusia dan persekitarannya,” jelas Monica.
Pendedahan awal
Sementara itu, peserta dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Tengku Amirah Tengku Johari, 20, teruja menjadi sebahagian daripada kumpulan penuntut terpilih dalam Structura Design Challenge 2014.
Tengku Amirah turut merasakan cabaran pertandingan lebih berganda memandangkan ahli kumpulannya merupakan penuntut Tahun 3 dalam pengajian seni bina dan silibus mengenai bangunan tinggi belum lagi dipelajari dalam kuliah.
“Begitupun kami tidak gentar dengan cabaran pertandingan ini. Ia ibarat pendedahan awal buat kami dan menjadikan kami lebih bersemangat untuk bersaing dengan kumpulan peserta lain yang lebih senior dan berpengalaman,” katanya.
Tambah Tengku Amirah, ahli kumpulan dipilih berdasarkan penilaian pensyarah terhadap kemampuan penuntut. Sebagai permulaan, mereka akan berbicang dan menjalankan sesi lampas otak dalam proses rekaan bagi memenuhi kehendak dan syarat pertandingan selain mendapatkan tunjuk ajar oleh pensyarah.
Pensyarah sememangnya membawa peranan pentiing dalam hala tuju dan gerak kerja setiap kumpulan yang bertanding. Bagi Penyelaras Akademik Jabatan Seni Bina UTM Skudai, Dr Alice Sabrina Ismail, tugas beliau adalah untuk memantau penglibatan dan perkembangan setiap ahli kumpulan dari universitinya.
Dr. Alice Sabrina memantau perkembangan kumpulan peserta dari UTM Skudai. - Astro AWANI/ Shahir Omar
“Kami bertindak sebagai penyelia kerja mereka sekali gus membekalkan ruang untuk perbincangan idea rekaan. Dalam fasa rekaan, pensyarah secara tidak langsung akan memberi panduan tentang perkembangan konsep idea, transformasi rekaan kepada imej 3 dimensi dan juga memberi input dalam proses kajian tapak,” ujar beliau.
Pemenang pertama pertandingan Structura Design Challenge 2014 bakal membawa pulang hadiah bernilai RM50,000, tempat kedua (RM30,000) dan tempat ketiga RM20,000, sementara hadiah saguhati RM10,000 juga disediakan selain trofi dan sijil penyertaan.
Sebanyak 30 kumpulan dari pelbagai institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta mengambil bahagian. Mereka adalah dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Teknologi Kreatif Limkokwing, Kolej Universiti Metropolitan Kuala Lumpur, Malaysia Twintech, Alfa Kolej Universiti Infrastruktur Kuala Lumpur, UiTM Perak dan Universiti Malaya.
Para peserta dari politeknik pula termasuklah daripada Politeknik Merlimau, Politeknik Sultan Idris Shah, Politeknik Port Dickson, Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah dan Politeknik Ungku Omar.