Janji tinggal janji. Itu dakwaan ahli keluarga mangsa tragedi pesawat Malaysia Airlines MH17 pada 2014.

Umizah Muhamad Din, 47, bekas isteri kepada anak kapal Shaikh Mohd Noor ketika tragedi berlaku mendakwa, ramai yang berjanji membantu kebajikan keluarga mangsa, namun itu hanya janji.

“Dahulu ada pihak yang menjanjikan untuk membantu dari segi kebajikan buat anak-anak mangsa yang terkorban. Mereka berjanji untuk memberi pertolongan dari segi kesihatan buat anak-anak ini.

“Ada juga yang berjanji untuk memberikan pertolongan dari segi pekerjaan terutamanya kepada waris keluarga. Tetapi, semua janji itu tidak wujud sehingga kini,” ujarnya ketika dihubungi Astro AWANI susulan genap empat tahun tragedi menyayat hati itu berlaku.

Tambah Umizah yang mewakili waris mangsa terkorban, mereka tidak mengharapkan bantuan yang besar, cukup sekadar pihak berkuasa mengambil tahu perkembangan terkini tentang ahli keluarga mangsa.

“Sekurang-kurangnya ada daripada pihak kementerian melawat kami. Kami tidak minta banyak, cukup sekadar mengikuti perkembangan kami.

“Tragedi yang berlaku adalah sukar buat kami, walaupun saya hanyalah seorang bekas isteri tetapi bagaimana dengan anak-anak arwah? Mereka sangat terganggu dengan kejadian yang menyebabkan mereka kehilangan seorang ayah,” luahnya.



Ibu kepada Shaikh Danish (17), Shaikh Danisha (14) dan Shaikh Al-Darwisyh (10) berharap kerajaan baharu ini memandang serius tragedi yang berlaku hari ini empat tahun lepas.

Shaikh Danish (17), arwah Shaikh Mohd Noor dan Shaikh Danisha (14). Foto: Astro AWANI

“Kami berharap kerajaan baharu ini memberi perhatian kepada isu ini, kami tidak mengharapkan bantuan dari segi wang ringgit tetapi sokongan moral yang diberikan.

“Emosi anak-anak saya yang tercalar tidak mungkin dapat dibayar dengan wang ringgit. Mereka ada hak untuk mengetahui tentang kebenaran disebalik tragedi ini.

“Saya juga berharap agar kerajaan meneruskan siasatan dan mendapatkan keadilan untuk mangsa yang terkorban dalam insiden penembakan pernerbangan Malaysia Airlines MH17,” katanya.

BACA: Pegawai atasan tentera Rusia, suspek utama nahas MH17 - Belanda

BACA: MH17: Malaysia terus komited bagi mencapai keadilan - Loke


Pada 17 Julai 2014, pesawat Boeing 777 Malaysia Airlines tersebut dalam penerbangan dari Armsterdam ke Kuala Lumpur apabila ditembak jatuh di ruang udara zon konflik di selatan Ukraine.

Kesemua 298 penumpang dan anak kapal terkorban.