Majlis Keselamatan Negara (MKN) menggerakkan 25 anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) untuk membantu operasi gempa bumi di Sabah.

Timbalan Setiausaha MKN Ogu Salim Omar berkata pasukan itu, yang diketuai Setiausaha MKN Datuk Mohamed Thajudeen Abdul Wahab berlepas ke Kota Kinabalu, Sabah tengah hari Jumaat.

"Anggota terbabit termasuk paramedik, kejuruteraan dan penyelamat. Setakat ini tiada mangsa yang terbunuh atau tercedera dilaporkan, dan kami masih lagi menunggu perkembangan terkini," katanya kepada pemberita di sini,Jumaat.

BACA:
Gempa 6.0 magnitud landa Ranau, Sabah
'Bagai ada tangan gergasi yang menggoncang katil' - warga Sabah
Gempa Sabah: JBPM Sabah gerak operasi menyelamat pendaki di Gunung Kinabalu


Beliau sebelum ini menyampaikan bantuan bencana gempa bumi dari rakyat Malaysia untuk mangsa gempa bumi di Nepal kepada Setiausaha Kedua Kedutaan Nepal di Malaysia Uttam Kumar Shahi, di Markas SMART, Pulau Meranti, Puchong dekat sini.

Beliau berkata bantuan dari segi perubatan akan dihantar ke Sabah bergantung kepada keperluan.

Menyentuh mengenai gempa bumi itu, Ogu Salim berkata MKN menerima maklumat mengenainya 15 minit selepas kejadian tersebut pada jam 7.30 pagi.

Gempa bumi sederhana berukuran 5.9 pada skala Richter berlaku di Ranau, Sabah dengan pusat gempa terletak 16km di barat laut Ranau.

Gegaran dirasai di kebanyakan tempat di Sabah termasuk Tambunan, Tuaran, Kota Kinabalu dan Kota Belud.

LIHAT:ALBUM GEMPA BUMI RANAU