Kementerian Kewangan (MoF) menyokong penuh langkah memperkenalkan inisiatif Skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk kalangan suri rumah dan bersedia membantu Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menjayakan usaha itu.

Inisiatif tersebut dikemukakan oleh KPWKM yang diterajui oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata dasar itu juga selaras dengan manifesto Pakatan Harapan (PH) untuk meningkatkan tahap keselamatan sosial golongan suri rumah yang bergantung kepada suami bagi menyara hidup.

“Skim ini dijangka bermula tahun ini secara sukarela dan akan melibatkan pemindahan 2.0 peratus daripada caruman sedia ada KWSP suami kepada akaun KWSP suri rumah terbabit.

“Saya percaya skim ini tidak membebankan mana-mana pihak kerana suami tidak mengalami sebarang pengurangan dari segi gaji bersih yang dibawa pulang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Lim berkata, skim itu juga sebaliknya akan mewujudkan satu hubungan ekonomi lebih saksama antara suami dan isteri yang tidak bekerja selain menguatkan lagi institusi kekeluargaan dengan menyediakan jaringan keselamatan sosial yang baharu.

“Pada masa ini, KWSP melaksanakan satu skim simpanan persaraan sukarela khusus bagi mereka yang bekerja sendiri dan tidak mempunyai pendapatan tetap.

“Tambahan sebanyak 15 peratus daripada semua caruman di bawah skim ini adalah disumbangkan oleh kerajaan kepada semua peserta, tertakluk kepada had RM250 setahun,” katanya.

Malah, pada tahun lepas KWSP mendapati sejumlah RM525 juta telah dicarum oleh 90,599 pencarum skim tersebut yang turut membabitkan penyertaan suri rumah, kata Lim.

“Saya difahamkan KPWKM bersama pihak KWSP akan menyediakan satu memorandum kepada Jemaah Menteri dalam masa terdekat ini. Dokumen ini akan memperincikan lagi struktur Skim KWSP untuk suri rumah,” katanya.

-- BERNAMA