Astro AWANI bakal memberikan sokongan kepada kempen #Movember – The Ultimate Shave Off anjuran Majlis Kanser Nasional (MAKNA).

Ia merupakan satu kempen bagi memberi kesedaran tentang kanser prostat dan kanser testis.

Penyampai berita Astro AWANI, Syah Hairizal Kamalul Arifin akan menyimpan misai sehingga acara kemuncak program ini pada 2 Disember.

Transformasi Syah Hairizal akan bermula pada 1 Oktober dan akan dikongsi dari masa ke semasa di akaun Instagram rasmi Astro AWANI, @501awani.

Syah
Ikuti transformasi penyampai berita Astro AWANI Syah Hairizal Kamalul Arifin di Instagram @501Awani.

Apa itu kanser prostat?

Menurut portal myHealth Kementerian Kesihatan Malaysia, kanser prostat ialah ketumbuhan berbahaya yang bermula dari dalam kelenjar prostat.

Ia paling kerap berlaku di kalangan lelaki disebabkan oleh faktor usia, sejarah keluarga dan hormon dimana paras testosteron (hormon seks lelaki) berada pada tahap yang tinggi.

Kanser Prostat


Movember – The Ultimate Shave Off

Kempen Movember dimulakan di Australia pada 1999 bagi meningkatkan kesedaran terhadap isu kesihatan lelaki termasuk kanser prostat.

Di Malaysia, beberapa pertubuhan dan individu sudah menyokong kempen ini atas inisiatif mereka sendiri.

Namun pada tahun ini, MAKNA memperkenalkan kempen ‘Movember – The Ultimate Shave Off’ bagi memberi kesedaran tentang kanser prostat dan testis untuk meraih dana.

Menurut Timbalan Pengurus Besar MAKNA Vemanna Appannah, kanser prostat dan testis jarang didedahkan berbanding kanser yang lain khususnya kanser payudara di kalangan wanita dan leukemia di kalangan kanak-kanak.

“Kanser yang paling kerap berlaku hanya untuk lelaki adalah kanser prostat dan testis. Ia kurang didedahkan dan jarang dibincangkan berbanding kanser yang lain.

“Kami memberi tumpuan kepada kanser ini agar lebih ramai dapat memahami kanser ini dan mendorong mereka untuk mengambil berat tentang kesihatan mereka dan melakukan pemeriksaan,” kata Vemanna, dalam satu temuramah dengan Astro AWANI.

Sumber: YouTube/MAKNA
Tambah Vemanna, kaum lelaki jarang mahu bercakap tentang prostat dan testis kerana ia adalah tentang alat sulit mereka.

"Dulu, orang tidak bercakap mengenai kanser payudara - terutamanya orang Asia - kerana ia adalah sesuatu yang sangat peribadi dan kebiasaannya ada sikap malu untuk sesetengah pihak bercakap tentang bahagian badan mereka sendiri. Itulah persepsi kanser payudara masa dahulu.

"Ia agak sama dengan bagaimana lelaki tidak bercakap tentang prostat dan testis kerana ia adalah bahagian sulit dan mereka tidak suka untuk berbincang tentang itu. Jadi apa yang kita cuba lakukan adalah untuk mendapatkan orang ramai berbincang mengenainya supaya mereka tidak berdiam diri dan boleh bercakap mengenainya.

Bagi program #Movember – The Ultimate Shave Off, MAKNA menganjurkan pertandingan video, pertandingan selfie dan acara kemuncak iaitu acara bercukur secara beramai-ramai pada 2 Disember di Great Eastern Mall, Ampang.

MAKNA mensasarkan kutipan sebanyak RM150,000 sepanjang kempen ini.