Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof mendesak Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki agar memohon maaf secara terbuka dalam tempoh seminggu berkenaan dakwaan penjualan aset-aset strategik Lembaga Tabung Haji (TH) bernilai RM2.6 bilion.

Mujahid yang menyifatkan Asyraf umpama 'lebai malang' berkata, permohonan maaf secara terbuka itu perlu dibuat kerana dakwaan yang dibuat Asyraf adalah tidak berasas dan merupakan fitnah.

Beliau juga menjelaskan sebagai salah seorang yang terlibat dalam usaha Penyatuan Ummah dan Muafakat Nasional, Asyraf sewajar sepatutnya membantu dengan memberi cadangan dan pandangan bernas untuk menjadikan Islam dan umatnya dipandang tinggi bukannya memanjangkan pembohongan.

"Apa yang saya nak minta darinya? Tarik balik kenyataan itu dan memohon maaf secara terbuka dalam masa seminggu.

"Jika dia tidak memohon maaf, kita akan mengambil tindakan yang selanjutnya sebab dia secara konsisten telah memburukkan Tabung Haji dan juga kerajaan," katanya ketika sidang media selepas merasmikan Persidangan Pendakwaan Syarie Seluruh Malaysia.

Pada Isnin, Asyraf dalam satu kenyataan media meminta Mujahid segera mengemukakan penjelasan berkenaan penjualan aset-aset strategik TH bernilai RM2.6 bilion termasuk pegangan saham dalam Tenaga Nasional Berhad (TNB) bernilai RM1.8 bilion.

Mujahid berkata, beliau tidak perlu membuat sebarang penjelasan terhadap perkara yang tidak mempunyai asas dan merupakan satu pembonongan dan fitnah.

"Saya tak faham Penyatuan Ummah ini, sepatutnya dia jagalah institusi Islam ini tapi dia memburukkan dengan satu kenyataan yang tidak tepat dengan alasan dia mempunyai maklumat, maklumat apa?

"Kemudian dia kata dia nak minta menteri beri penjelasan, penjelasan atas kepalsuan apa faedahnya?" soal beliau.



Dalam kenyataan medianya pada Isnin, TH memaklumkan bahawa secara keseluruhan pegangan syarikat itu dalam TNB telah bertambah sebanyak RM304 juta semenjak 18 bulan lalu.

TH juga menafikan pegangan ekuiti berjumlah RM2.6 bilion atau secara drastik sejak tiga bulan lalu seperti dilaporkan media.

Malah TH memaklumkan sepanjang tahun 2019, nilai ekuiti domestiknya telah meningkat sebanyak RM1.12 bilion daripada RM6.36 bilion pada penghujung 2018 kepada RM7.48 bilion setakat 27 September lalu.