Golongan muda di sekitar ibu kota yang ingin berkahwin tidak perlu lagi bimbang dengan kos perbelanjaan yang tinggi serta pelbagai urusan persiapan yang rumit.

Program My Walima anjuran Hikayat Events Sdn Bhd dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Wilayah (JAWI) menawarkan satu pakej perkahwinan beramai-ramai versi ‘premium’.

Antara yang menarik ditawarkan di dalam pakej ini adalah harganya yang mampu milik, selain bakal pengantin berpeluang melangsungkan pernikahan dan majlis resepsi di hotel bertaraf empat bintang.

Program ini akan diadakan bermula November hingga Mac 2017.

Menurut Pengarah Program MyWalima, Ahmad Mustaqim Abdul Rahman, untuk fasa pertama, setiap majlis akan meraikan 20 pasangan dan 800 tetamu di Hotel Everly, Putrajaya.

"MyWalima adalah pakej perkahwinan yang sangat berbeza dengan pakej perkahwinan beramai-ramai yang pernah dikendalikan oleh beberapa NGO sebelum ini.

“Kami menawarkan layanan premium, busana perkahwinan terbaik, persiapan mewah serta pasangan berpeluang berkahwin di hotel yang mana biasanya menelan belanja lebih RM60,000,” kata Ahmad Mustaqim.

mywalima
Majlis perlancaran MyWalima pada Isnin turut dihadiri Ketua Penolong Pengarah Kanan, JAWI Cawangan Putrajaya Hj Hazaruddin Baharudin (tiga dari kiri). - Foto MyWalima


Tambahnya lagi, segala persiapan pasangan yang mengambil pakej ini akan diuruskan pihak MyWalima iaitu dari urusan akad nikah, tempat nikah, kad kahwin hingga ke jurufoto.

Untuk tawaran terhad, program MyWalima menawarkan rebat RM5,000 pasangan mempelai yang mana harga asal RM19,900 untuk satu pakej bakal menjadi RM14,900.

Untuk memastikan kejayaan program ini, vendor-vendor yang berkualiti dan berpengalaman luas telah dipilih untuk bekerjasama antaranya Entry Production, Dwen Raha Kuala Lumpur, Hikayat Cinta, Laskar Sonas Productions, Ramza Studio by Bee Ramza, dan Sweet Pictures Sdn Bhd.

Penyertaan hanya terhad kepada 100 pasangan terawal sahaja.

Untuk mendaftar boleh layari www.mywalima.my atau hubungi pihak urusetia 010-4097100.