Bas yang dipandu terlalu laju dikatakan menjadi punca sebuah bas ekspres hilang kawalan hingga terjunam ke dalam cerun dan mengorbankan 14 nyawa dalam kemalangan maut di Kilometer 137.2 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara berhampiran Plaza Tol Pagoh pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Azman Ayob berkata, siasatan awal mendapati bas terbabit terbabas ke kiri jalan dan mempunyai kesan tanah sejauh 150 meter tanpa kesan brek.

Beliau berkata, kejadian yang berlaku pada 3.45 pagi tadi itu tidak melibatkan kenderaan lain.

Katanya, bas berkenaan bergerak dari Terminal Bas Larkin, Johor Bahru pada pukul 2 pagi menuju ke Kuala Lumpur.

Jelasnya, sejurus terbabas, bas tersebut kemudian melambung dan terjunam ke dalam gaung sedalam hampir 10 meter sebelum terhenti apabila bahagian depan bas merempuh terowong konkrit di Kampung Jayo, Pagoh di sebelah kiri lebuh raya.

Akibat hentakan kuat itu, 13 daripada 30 penumpang dan pemandu meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang penumpang meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF).

“Kemalangan bas ini dipercayai terbabas ke bahagian kiri lebuh raya dan terhumban ke dalam gaung setinggi 8 hingga 10 meter.

“Tempat kemalangan adalah di Kampung Jayo, Pagoh. Seramai 14 mangsa telah meninggal dunia, iaitu 13 maut di tempat kejadian dan seorang lagi dalam perjalanan ke Hospital Muar, sementara 16 yang lain cedera,” kata Azman.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar.

Mengulas lanjut katanya, kesemua yang maut adalah penumpang yang duduk di bahagian depan bas berkenaan berikutan bahagian depan mengalami kerosakan yang paling teruk.

Jelasnya, semua identiti mangsa yang maut belum dikenal pasti, manakala mangsa yang cedera terdiri daripada tujuh lelaki tempatan, lima lelaki warga Singapura, dua lelaki Myanmar, seorang wanita Singapura dan seorang wanita belum diketahui identiti.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Tambahnya, sehingga kini, pihaknya masih gagal menghubungi pihak pengurusan syarikat bas ekspres berkenaan.