Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mendedahkan pejabat UMNO di Pekan, Pahang pernah menjadi sasaran penembak dalam kejadian pada tahun 2017.

Menurut Najib, tembakan itu disasarkan pada bahagian tepi cermin bilik pejabatnya seolah-olah ia merupakan satu bentuk amaran kepada dirinya.

"Saya tidak berada di pejabat pada waktu kejadian, tetapi sejak itu, kawalan keselamatannya diketatkan lagi. Perkara itu telah dilaporkan kepada pihak polis, namun sehingga kini pihak berkuasa belum dapat mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab melakukannya.


Kenyataan media kesan tembakan di pejabat UMNO, Pekan, Pahang

"Ini juga antara sebab perlindungan keselamatan Unit Tindakan Khas (UTK) kepada saya ditingkatkan antara tahun 2017 ke 2018," katanya menerusi menerusi status Facebook miliknya pada Jumaat.

Ahli Parlimen Pekan itu turut berkongsi gambar yang menunjukkan lubang peluru di tingkap di pejabatnya.

Menurut Najib lagi, ada yang menuduh beliau menipu mengenai ancaman keselamatan yang berlaku pada tahun 2017

Laporan polis yang dibuat berhubungan kesan tembakan di pejabat UMNO, Pekan, Pahang

Mengulas lanjut, beliau berkata, pendedahan itu bukan bertujuan mengungkit kisah lama, tetapi cuma ingin menjelaskan persepsi yang dimainkan oleh pemimpin Pakatan Harapan bahawa beliau tidak mesra rakyat atau rakyat tidak mudah mendekatinya.

“Bukan peribadi saya untuk tidak mesra rakyat. Najib Razak sejak jadi ADUN dan MP Pekan sampai hari ini... rakyat diutamakan. Setiap hari.

“Walaupun berdepan dengan ancaman atau cabaran politik dahulu sehingga kini. Ya, pahit manis, Najib Razak tetap berjuang dan bersama rakyat. Ini janji dan komitmen saya,” katanya.