Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini mengutuk tindakan keganasan yang kejam ke atas orang awam yang tidak berdosa di Perancis, Tunisia dan Kuwait.

Beliau berkata kekejaman ini bertentangan dengan ajaran Islam sebenar kerana ia menyebabkan kecederaan dan meragut banyak nyawa dalam bulan Ramadan yang suci.

"Saya mengutuk tindakan keganasan yang kejam ke atas orang awam yang tidak berdosa. Kekejaman ini, adalah bertentangan dengan ajaran Islam sebenar. Takziah daripada saya dan al-Fatihah," kata Najib melalui akaun Twitter dan Facebook beliau.

Media antarabangsa melaporkan seorang lelaki menyerbu sebuah loji kimia milik Amerika dekat Lyon, Perancis, memenggal kepala seorang mangsa dan kemudiannya cuba meletupkan kemudahan berkenaan.

Di Tunisia, seorang penyerang melepaskan tembakan rambang di sebuah pusat percutian terkenal dan membunuh sekurang-kurangnya 38 orang manakala di Kuwait, seorang pengebom berani mati meletupkan dirinya di dalam sebuah masjid mengakibatkan sekurang-kurangnya 25 penganut Syiah terbunuh.

BACA: Serangan Tunisia: 17 mayat dikenal pasti, pelancong tinggalkan Tunisia

BACA: Serangan Tunisia: Militan IS mengaku bertanggungjawab