Keluarga Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan penghargaan atas lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) hari ini.

Muhamad Ihsan Anwar dalam satu kenyataan turut memohon agar Anwar dibenarkan mendapatkan rawatan di luar penjara selama mana yang diperlukan untuk sembuh sepenuhnya.

"Perdana Menteri dan isteri sempat menziarahi ayah kami, Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang sekarang sedang menjalani rawatan selepas pembedahan bahu, yang kecederaannya menjadi semakin parah akibat pemenjaraan dan kemalangan bulan lepas semasa dalam jagaan Kerajaan Malaysia.

"Saya mengambil kesempatan ini untuk memohon supaya Kerajaan Malaysia mempertimbangkan agar ayah kami dibenarkan berada di kemudahan perubatan di luar penjara untuk menjalani rawatan, selama mana yang diperlukan untuk sembuh sepenuhnya seperti yang dicadangkan oleh panel doktor yang merawat beliau," katanya.

Muhamad Ihsan juga merakamkan penghargaan kepada pasukan pakar perubatan serta kakitangan HKL dan kakitangan penjara atas rawatan dan pemulihan terhadap Anwar.

Petang Jumaat, Datuk Seri Najib dan Datin Seri Rosmah melawat Anwar yang kini sedang mendapatkan rawatan di HKL.

Menerusi akaun facebooknya, Perdana Menteri turut mendoakan Anwar agar cepat sembuh.