Menutup atau menjual Malaysia Airlines Berhad (MAB) menjadi antara langkah yang sedang dipertimbangkan Kerajaan ketika ini.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata ia susulan kerugian yang dihadapi Malaysia Airlines sejak beberapa tahun lalu sekaligus menjadi penyumbang kepada susut nilai Khazanah Nasional Berhad (Khazanah).

Katanya, antara langkah lain yang boleh diambil termasuk menjual atau menyuntik dana kepada syarikat penerbangan negara itu.

“Menutup syarikat penerbangan negara merupakan satu perkara yang serius.

“Tapi kita akan terus menilai dan menyiasat sama ada kita harus menutupnya atau kita harus menjualnya atau kita harus membiayainya semula,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen, pada Selasa.


BACA: Gugur syarikat berprestasi rendah antara cara selamatkan Khazanah - Tun Mahathir

BACA: Hebat di udara dan di darat, Malaysia Airlines rangkul gelaran berprestij ini

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berkenaan kenyataannya sebelum ini yang mencadangkan supaya anak-anak syarikat Khazanah yang berprestasi rendah digugurkan.

Bagaimanapun, Dr Mahathir berkata perkara tersebut hanya cadangan dan tiada sebarang keputusan dimuktamadkan.

Sementara itu, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyatakan bahawa walaupun MAB dan Khazanah akui akan prestasi syarikat itu, namun mereka komited untuk memulihkan MAB.

“Perkara ini ada dibincangkan dalam mesyuarat lembaga pengarah Khazanah dan Dr Mahathir telah memberi pandangannya berkenaan cara menangani situasi ketika ini.

“Pengurusan Khazanah dan MAB yang hadir mesyuarat itu mengambil maklum perkara itu secara serius. Saya harap mereka dapat menemui penyelesaian kepada isu ini,” katanya kepada media di lobi Parlimen, pada Selasa.

Ketika ini, terdapat enam buah pesawat A380 yang tersadai dan tidak beroperasi sejak beberapa tahun lalu.

MAB juga menyediakan perkhidmatan baharu ‘Salam’ - iaitu perkhidmatan membawa jemaah haji dan umrah dari Kuala Lumpur ke Madinah.