BADMINTON China yang semakin hilang pengaruh susulan kempen mengecewakan di Sukan Olimpik Rio menjadi petanda baik keseimbangan pesaing lain, terutama Malaysia, untuk mencabar kejuaraan utama dunia.

Kegagalan mempertahankan Piala Thomas pertengahan tahun ini di laman sendiri menjadi permulaan kemerosotan skuad China.

Hilang lagak Negara Tembok Besar itu di pentas Olimpik dengan Rio menyaksikan mereka hanya membawa pulang tiga pingat -- dua emas serta satu gangsa.

Berbeza dengan Olimpik London pada 2012 kerana selain memenangi emas dalam setiap kategori, mereka juga memastikan pungutan dua perak dan satu gangsa.

“Ini merupakan satu berita gembira buat badminton Asia kerana negara-negara lain di Asia kini semakin meningkat dan mampu berdaya saing.

"Secara tidak langsung program pembangunan di Asia membuahkan hasil,” kata Ketua Pegawai Operasi Konfederasi Badminton Asia (BAC), Kenny Goh.

Badminton dunia, terutama dari kelompok Asia, bakal kehilangan nama besar seperti Datuk Lee Chong Wei, Lin Dan serta pemain beregu, Fu Haifeng dan Lee Yong Dae, yang menuju persaraan.

Tetapi Kenny tetap berasakan Asia akan terus menjadi kuasa besar dunia di samping melahirkan jagoan untuk menggantikan barisan ikon ini.

“Dalam kelompok 10 terbaik, tidak akan banyak berubah. Saya percaya dalam tempoh empat tahun lagi, pembangunan dari negara-negara kecil mampu memberikan saingan di pentas tertinggi.”