Seorang pencari siput dijumpai maut berhampiran lokasi kejadian pesawat pengangkut CN235 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang mendarat cemas di pantai Batu 2, Kuala Selangor sekitar jam 8.50 pagi tadi.

Mangsa yang dikenal pasti sebagai Abu Hassan Abdul Latif, 57, mati lemas ketika cuba menghampiri kawasan pesawat tersebut mendarat sebelum kakinya tersangkut dalam lumpur.

Ketua polis daerah Kuala Selangor Supt Ruslan Abdullah berkata, Abu Hassan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Tanjong Karang.

“Kami klasifikasikan kes ini sebagai SDR atau mati mengejut,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Punca sebenar kematian mangsa masih dalam siasatan.

Sementara itu, adik mangsa Jamaliah Abdul Latif, 24, yang ditemui di pusat operasi berkata terkejut ketika mendapat berita sedih itu daripada pihak berkuasa.

"Abang saya pencari siput. Dia memang hidup bersendirian di rumahnya. Tiada isteri dan anak.

"Kami dah mengecam abang saya. Sekarang ini, nak cari dokumen peribadinya sebab pihak hospital minta," kata Jamaliah.

Dia menggambarkan arwah abangnya sebagai seorang yang pemurah hati dan sentiasa ingin membantu orang.

Dalan insiden pagi Jumaat itu, pesawat yang berpangkalan di PU Subang itu telah mendarat di Pantai Asam Jawa, menurut kenyataan TUDM.

BACA: Pesawat TUDM buat pendaratan cemas, semua anak kapal selamat

Pesawat yang membawa lapan orang anak kapal juga dilaporkan selamat dengan dibantu oleh nelayan tempatan yang berada di kawasan tersebut.

TUDM memaklumkan akan menubuhkan satu pasukan penyiasatan bagi mengenal pasti punca kejadian, dan akan berusaha untuk membuat pemulihan bagi pesawat tersebut.

Dalam pada itu, Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengesahkan kesemua anak kapal telah selamat.

Beliau turut mengarahkan TUDM menyiasat punca kejadian dengan dipantau sendiri oleh Panglima Tentera Udara.