Badan Bukan Kerajaan (NGO) Pemuda Negara pada Selasa menuntut agar pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), menjalankan siasatan terperinci terhadap agensi berita antarabangsa Al Jazeera berkaitan sebuah dokumentari memaparkan kononnya Malaysia memberikan layan buruk terhadap pendatang asing tanpa izin (PATI) ketika merawat penularan COVID-19.

Ketua Pemuda Negara, Hafizam Harun berkata, pihaknya telah membuat laporan polis terhadap mereka yang terlibat dalam menerbitkan dokumentari tersebut termasuk warga asing yang ditemu bual.

“Kita tuntut Al Jazeera buat permohonan maaf secara terbuka kepada rakyat Malaysia termasuk kerajaan terhadap tohmahan yang tidak relevan dan ini merupakan satu pembohongan terbesar dan kami bantah sekeras-kerasnya penularan video tersebut.

“Sepatutnya mereka (Al Jazeera) lakukan penyelidikan dahulu, dapatkan fakta daripada sumber yang sahih sebelum keluarkan apa-apa berita kerana perkara ini boleh rosakkan imej negara termasuk petugas barisan hadapan kita yang terlibat,” katanya ketika ditemmui di Balai Polis Dang Wangi pada Selasa.

Dalam pada itu, Hafizam turut menggesa agar pihak Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia Malaysia (SKMM) agar segera bertindaksupaya video yang dimuat naik di platform media sosial yang telah mendapat 3 juta tontonan dalam tempoh tiga hari, ditarik balik.

Mengulas mengenai dakwaan pihak warga asing yang mendakwa Malaysia memberi layanan buruk terhadap mereka, pihaknya berpendapat tuduhan itu ibarat ‘kacang lupakan kulit’.

“Mereka dah lupa apa yang kerajaan dah bagi pada mereka, ada juga yang tiada dokumentasi tetapi bergerak bebas bekerja dan sebagainya,” katanya lagi.

Pihaknya yakin kesemua individu yang terlibat di dalam dokumentari tersebut mampu dikesan oleh pihak polis susulan kedudukan persempadanan negara yang masih ditutup akibat pandemik COVID-19.

Dokumentari teribitan Al Jazeera yang berdurasi hampir 30 minit itu menerima kecaman hebat apabila menunjukkan Malaysia seolah-olah memberikan layan buruk terhadap PATI termasuk menggari kanak-kanak sebelum dibawa ke pusat kuarantin.

Semalam, Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut menggesa agar agensi berkenaan membuat permohonan maaf secara terbuka atas laporan berita yang mengelirukan itu.