Dalam usaha untuk membendung gejala sosial di kalangan generasi muda, pawagam Lotus Five Star Cinemas (LFS) di sini telah mengambil insiatif mempamerkan notis memaklumkan larangan menggunakan kerusi berkembar atau 'couple seat' bagi pasangan bukan mahram yang tidak mempunyai ikatan sah kepada kaki wayang di sekitar Seri Iskandar.

Notis tersebut adalah arahan daripada pihak pengurusan pawagam atas nasihat daripada Majlis Daerah Perak Tengah dan telah mula berkuatkuasa sejak pawagam tersebut mula beroperasi sejak dua tahun lalu.

Tinjauan Astro AWANI mendapati kebanyakkan pengunjung adalah dari sekitar daerah Perak Tengah dan ianya merupakan satu-satunya pawagam di kawasan tersebut.

Seri Iskandar memang dipenuhi dengan golongan Generasi-Y kerana bandar itu menempatkan beberapa institusi pengajian tinggi. Jadi, tidak hairan jika pawagam tersebut menjadi salah satu kawasan tarikan bagi pelajar-pelajar untuk berlibur bagi menghilangkan tekanan atau 'stress'.

Pawagam tersebut mempunyai 12 buah ‘couple seat’ serta tujuh bilik tayangan.

Beberapa pasangan yang sudah berkahwin yang ditemui ketika tinjauan dilakukan rata-rata berkata ianya adalah langkah terbaik terutamanya dalam usaha mengekang gejala sosial dari berleluasa di kalangan generasi muda.

Bagi golongan belia, ramai yang berkata ianya tidak wajar dan pengunjung wajar diberikan kebebasan dalam menilai tingkah laku dan berfikir secara matang.‎

couple seat
Notis larangan 'couple seat' bagi pasangan yang bukan muhrim yang dipamerkan oleh pihak pengurusan LFS Cinemas di Seri Iskandar. Foto ini telah dimuat naik oleh Harith Baharudin di laman Facebook 'Movie Addict' pada Isnin.

Seorang pengunjung LFS Seri Iskandar, Farah Atikah Zulkepli berkata: “Ia patut berdasarkan perwatakan individu itu sendiri. Kalau dia hendak buat maksiat, duduk di mana-mana pun boleh kerana pawagam itu gelap.

“Didikan harus datang dari ibubapa. Didikan daripada rumah sepatutnya dititikberatkan, tidak kisah jika ‘couple seat’ itu ada atau tiada,” kata Farah yang merupakan seorang pelajar.

Buat seorang pengunjung lain, Nor Farhanah Hamid beliau berkata inisiatif yang diambil pawagam tersebut sememangnya wajar‎.

“Pada pandangan saya, tidak manis jika pasangan bukan mahram untuk duduk berdua di dalam pawagam, ia boleh memburukkan lagi imej kita sebagai seorang Muslim. Kita beragama Islam, ia boleh memburukkan imej negara,” katanya.

Sementara itu, seorang kakitangan awam Azura Zainal Abidin berkata pihak pengurusan panggung wayang di seluruh negara patut melarang penggunaan ‘couple seat’ oleh pasangan bukan mahram.

“Ada pasangan bukan muhrim yang datang ke sini dan bukannya tengok wayang tetapi buat benda lain, tidak elok-lah. Ia juga mengganggu penonton lain.

“Apabila ada notis larangan, anak-anak dara yang pergi tengok wayang juga tidak perlu risau sebab tiada gangguan,” katanya.

Usaha Astro AWANI untuk mendapatkan keterangan lanjut di sebalik larangan penggunaan ‘couple seat’ dari pihak pengurusan pawagam tidak berjaya buat masa ini.

Penjelasan dari pihak pengurusan pawagam jika terdapat tindakan ke atas mereka yang melanggar larangan tersebut juga tidak berjaya.


Reaksi pengunjung-pengunjung pawagam Lotus Five Stars (LFS) Cinemas di Seri Iskandar, Perak