Malaysia pada Ahad mengucapkan 'Terima Kasih' dan Selamat Jalan' kepada Presiden Amerika Syarikat Barack Obama yang berlepas pulang selepas membuat kunjungan ke negara ini.

Obama tiba di Malaysia Jumaat lalu untuk menyertai beberapa persidangan yang berlangsung selama tiga hari.

OBAMA
Obama (dua dari kanan) sedang membuat pemeriksaan lintas hormat sejurus selepas pemimpin dunia tersebut tiba di Lapangan Terbang TUDM, Subang pada Jumaat. - Gambar BERNAMA


Berikut adalah agenda-agenda yang penting berlaku sepanjang pemimpin nombor satu Amerika Syarikat itu berada di sini.

Obama yang juga dirujuk dengan akronim POTUS (President of The United States) dalam media sosial, tiba dengan pesawat rasmi Air Force One di Lapangan Terbang Tentera Udara DiRaja Malaysia, Subang, Selangor pada jam 3.45 petang, pada Jumaat.

Beliau kemudian menghadiri acara pertama, sesi town hall ‘YOUNG SOUTHEAST ASIAN LEADERS INITIATIVE (Y-S-E-A-L-I)’ di Taylor's University, Petaling Jaya.


Perhimpunan itu menjadi peluang yang baik untuk golongan belia menyuarakan isu-isu semasa yang berlaku di negara masing-masing.

FOTO ALBUM : Sesi "Town hall" Obama bersama alumni YSEALI


Obama kemudian menghadiri mesyuarat dua hala bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), pada malam Jumaat.

Malaysia dan Amerika Syarikat bersetuju menjadikan Malaysia sebagai Pusat Serantau Digital Bagi Memintas Mesej Melalui Komunikasi (RDG3) bagi memerangi ekstremisme melampau di rantau ini.



Pada hari Sabtu, Obama berkata Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) bukan hanya mewakili aspek perdagangan semata-mata, malah ia menggambarkan masa depan yang lebih cerah kepada ekonomi global.


Mengabaikan protokol, pemimpin dunia itu turut meluangkan masa bersama kanak-kanak di bawah jagaan Dignity For Children Foundation di Sentul sambil memuji tindakan Malaysia kerana membuka pintu kepada pelarian dan pencari suaka daripada pelbagai tempat bergolak di dunia.


Obama
Obama meluangkan masa bersama kanak-kanak di Yayasan Dignity for Children di Sentul pada Sabtu. Gambar: BERNAMA


FOTO: Sesi "Town hall" Obama bersama alumni YSEALI

FOTO: Obama hadiri Sidang Perniagaan dan Pelaburan ASEAN


Obama turut berkesempatan untuk bertemu aktivis masyarakat tempatan bagi membincangkan isu berkenaan TPPA, rasuah, hak asasi manusia dan dakwaan yang melibatkan dana syarikat pelaburan negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Antara yang hadir adalah presiden Persatuan Hak Asasi Manusia Kebangsaan (Hakam), Datuk Sreenevasan; pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah; dan Pengarah Eksekutif Pusat Membanteras Rasuah dan Kronisme (C4) Cynthia Gabriel.





CC
Presiden AS Barack Obama ketika Sidang Kemuncak Ke-3 ASEAN-Amerika Syarikat yang berlangsung sempena Persidangan Kemuncak ASEAN Ke-27 pada Sabtu. - Foto BERNAMA

Pada pagi Ahad pula, Obama menuju ke Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN Ke-27.

Obama turut mengadakan sidang media di Ritz Carlton, Kuala Lumpur yang dihadiri wartawan tempatan dan antarabangsa.

Dalam sidang media itu, beliau menyeru masyarakat dan pemimpin dunia untuk tidak gentar dalam memerangi ancaman pengganas.


Walau bagaimanapun Obama enggan memberi sebarang kenyataan berhubung dakwaan yang melibatkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Jelas Obama, beliau tidak boleh memberi komen mengenai penyiasatan yang sedang dilakukan di negara lain.