Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad akan membuat pendedahan pada minggu depan mengenai bangunan komersil di ibu negara yang dibina atas tanah kerajaan dan diluluskan individu tertentu dalam Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Tanpa menamakan individu berkenaan, beliau antara lain menjelaskan, pihaknya akan membawa isu berkenaan ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas pendedahan dibuat.

Ketika ini katanya, DBKL telah menyerahkan surat pengosongan premis kepada pemilik bangunan berkenaan.

Malah, perkara itu berjaya dikesan sejak sebulan lalu.

“Insya-Allah, perkara itu berhubung dengan bangunan yang telah dibina atas tapak kerajaan. Bukan tanah dia, dia dapat surat DO, kelulusan dan siap dibina. Kita akan dedah.

"DBKL sudah minta ia dikosong. Kita akan tengok penyelesaian terbaik. Isu ini dikesan dalam sebulan lebih,” katanya semasa ditemui media selepas program Bicara Minda bersama Khalid Abdul Samad anjuran Sinar Harian di sini pada Jumaat.

Katanya, pendedahan pencerobohan tanah kerajaan itu dibuat Datuk Bandar Kuala Lumpur kepadanya.

Beliau pada masa mengesahkan kelulusan projek berkenaan atas tanah milik kerajaan bukan ditandatangani Datuk Bandar Kuala Lumpur sebelum ini, sebaliknya pegawai terlibat.

“Datuk Bandar sebelum ini dia tidak tandatangan, tetapi pegawai di jabatan berkenaan. Kita akan bawa ke SPRM selepas ni, selepas dedah. Kita tak boleh dedah sekarang,” tambahnya.

Ditanya sama ada penglibatan bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan dalam isu berkenaan, jelasnya perkara itu hanya akan diberitahu minggu depan.

Pada masa sama, beliau memerlukan masa lebih setahun untuk menyelesaikan dan mengkaji isu melibatkan tender projek agar ia dilakukan secara telus serta adil.