Sasterawan negara Datuk A. Samad Said menjelaskan penyertaan beliau ke dalam DAP adalah untuk menzahirkan perjuangannya yang sebelum ini hanya dilontarkan menerusi bait-bait puisi.

Beliau, yang lebih dikenali dengan gelaran Pak Samad, berkata sudah tiba masanya untuk beliau melibatkan diri secara aktif dalam politik tanah air kerana sebagai sasterawan juga perlu menunjukkan sikap untuk memihak kepada mana-mana pihak secara terbuka.

“(Penyertaan ke dalam DAP) sudah saya fikirkan sejak beberapa tahun lalu. Saya mengikuti perkembangan politik dalam tanah air. Saya putuskan menyertai DAP kerana parti ini iailah parti siasah yang ada landasan yang jelas dan anggota parti yang bersungguh-sungguh.

“Apa guna tulisan sahaja, lebih baik sertai parti politik," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan kunci rumah kekal kepada mangsa banjir di Kampung Pasir Tumboh di sini, hari ini.

Hadir sama Penasihat DAP Lim Kit Siang, Pengerusi Gerakan Impian Kelantan (GIK) Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah, Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke dan Anggota Parlimen Seputeh Teresa Kok.


Pada majlis itu, A Samad atau lebih dikenali sebagai Pak Samad turut menerima kad keanggotaan daripada parti berfahaman sosialis itu.

Beberapa portal berita malam tadi melaporkan Pak Samad, 83, telah menyertai DAP dan akan memberi penjelasan berhubung pembabitannya dalam parti pembangkang itu pada satu majlis di sini.

Sementara itu, Anthony berkata DAP memilih Gua Musang sebagai tempat Pak Samad memberikan penjelasan mengenai keanggotaannya dalam parti itu kerana Pak Samad merupakan penasihat kepada Gerakan Impian Kelantan.

Pak Samad, sebelum ini banyak membuat kemunculan dalam perhimpunan dan protes serta bantahan anjuran Pakatan Rakyat (PR) dan badan bukan kerajaan (NGO), selain memimpin Gabungan Pilihan Raya Adil dan Bersih (Bersih) bagi menuntut perubahan dalam proses pilihan raya.

READ: Pak Samad sertai DAP