Pakej rangsangan ekonomi yang bakal diperkenalkan tidak lama lagi, akan memberi tumpuan dalam merancakkan lagi industri pelancongan dalam negeri, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Azmin Ali.

Tumpuan itu, jelas beliau lagi, adalah kerana sektor pelancongan Malaysia merupakan yang paling teruk terjejas ekoran perebakan wabak Novel Koronavirus (COVID-19), yang kini telah meragut hampir 1,600 nyawa di seluruh dunia.

Atas sebab itu, Ahli Parlimen Gombak itu berkata, perkara itu telah dibincangkan dan dipersetujui dalam satu mesyuarat antara kementerian beliau, Kementerian Kewangan, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, serta beberapa kementerian lain semalam.

“Sektor pelancongan antara terkesan akibat virus ini, dan kita sudah melihat dari segi statistik dan jumlah pelancong asing, kadar pembatalan di hotel-hotel, seminar, serta pergerakan pelancong semuanya terkesan.

“Antara kandungan pakej ini, bagaimana kita harus mengukuhkan lagi sektor pelancongan dalam negara, menaik taraf produk pelancongan di negeri-negeri dan sebagainya,” katanya lagi.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyampaian Kunci Laman Haris kepada 987 peneroka yang terlibat di bawah Revolusi Hijau II & III, di sini hari ini.

Pada 11 Februari lepas, Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan berkata, kerajaan sedang merangka satu pakej rangsangan ekonomi untuk menangani impak ekonomi akibat kesan COVID-19.

BACA: Kerajaan setuju perkenal pakej rangsangan ekonomi tangani impak koronavirus

Mengulas lanjut, Azmin berkata, tumpuan juga akan diberikan kepada sektor pembinaan, kerana sektor itu memperlihatkan pengembangan dari -1.5% kepada 1% untuk suku keempat 2019, seperti yang diumumkan Gabenor Bank Negara Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus minggu lepas.

Katanya lagi, sektor pembinaan juga terjejas teruk kerana banyak bahan mentah yang digunakan diimport dari negara yang terkesan dengan wabak itu seperti China.

"Tumpuan diberikan kepada sektor pembuatan dan pelaburan domestik ini supaya kita dapat memproses bahan mentah bukan hanya untuk kegunaan sendiri tetapi juga dieksport ke luar negara," katanya lagi.