Paras air di beberapa empangan di Kedah, Pulau Pinang dan Melaka masih terkawal walaupun dilaporkan berlaku penyusutan akibat keadaan cuaca panas yang melanda negeri-negeri berkenaan ketika ini.

Pengarah Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Pengguna Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) Mohd Fazil Ismail berkata sekiranya paras empangan di tiga negeri itu terus merosot sehingga menjejaskan bekalan air, operator air dari negeri lain akan digerakkan untuk membantu negeri berkenaan.

"Contohnya jika Selangor tidak ada masalah, mungkin Selangor akan hantar tangki untuk tolong operator air yang ada masalah dan ini bukanlah perkara baru sebab kita ada persetujuan antara operator-operator air untuk membantu antara satu sama lain," katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Mohd Fazil berkata negeri-negeri yang terjejas akibat cuaca panas juga masih belum melaksanakan aktiviti pembenihan awan memandangkan bekalan air ketika ini masih lagi stabil.

Mengenai kemerosotan paras air Empangan Gubir di Kedah seperti yang dilaporkan baru-baru ini, katanya empangan-empangan lain di negeri itu masih boleh membantu membekalkan air mengikut keperluan penduduk.

"Setakat ini bekalan air di negeri Kedah masih mengikut keperluan, tetapi seandainya terdapat sebarang keperluan untuk membuat catuan atau melaksanakan pembenihan awan, mereka akan buat permohonan kepada SPAN," katanya.

Ditanya mengenai keputusan kerajaan negeri Melaka untuk melaksanakan catuan bekalan air secara berjadual, Mohd Fazil berkata langkah itu dibuat berdasarkan keperluan bagi memastikan bekalan air mencukupi.

Bagaimanapun, katanya SPAN akan memantau secara terperinci sebarang langkah yang akan dilaksanakan oleh kerajaan negeri itu dan mengkoordinasi bantuan bagi memastikan pengguna terus mendapat bekalan air.

SPAN memantau kesemua 46 empangan di Semenanjung Malaysia dan Labuan, manakala empangan di Sabah dan Sarawak dikawal selia pihak kerajaan negeri.

Dalam pada itu, Mohd Fazil berkata SPAN akan menganjurkan program larian "Water is Life Run 2020" pada 11 April ini di Anjung Floria, Putrajaya bersempena sambutan Hari Air Sedunia yang disambut pada 22 Mac setiap tahun.

Dengan slogan "Bergembira Bersama, Gunalah Air Secara Berhemat!", katanya acara yang bertujuan memupuk kesedaran memelihara sumber air dan menjimatkan penggunaan air itu menyasarkan sekurang-kurangnya 2,000 peserta.

Untuk menyertai larian itu, orang ramai boleh mendaftar melalui pautan https://www.heyjom.com/events/details/531/water-is-life-run-2020.

-- BERNAMA