Golongan belia hari ini ternyata bertuah kerana berpeluang merasai pelbagai pengalaman baharu dalam pelbagai bidang dan platform untuk membentuk mereka menjadi pemimpin di semua lapangan.

Ungkapan 'kerajaan hari ini untuk orang muda dan belia' jelas direalisasikan kerajaan yang sentiasa memberi perhatian, pertimbangan dan bantuan sewajarnya untuk golongan belia terlibat dalam pembinaan negara bangsa.

Terbaharu, penubuhan Parlimen Belia Malaysia (PBM), yang bertujuan melahirkan barisan pelapis kepimpinan muda sejajar dengan keperluan negara masa kini dan akan datang, menterjemahkan inisiatif kerajaan dan harapan terhadap golongan belia negara ini.

Persidangan dua hari di Dewan Rakyat pada 10 dan 11 Jan lepas, yang melibatkan 133 ahli PBM dipilih dan dilantik. membuka lembaran baharu buat golongan itu untuk membahaskan usul-usul berkaitan belia serta pendedahan proses penggubalan undang-undang dan sistem pentadbiran negara.

MENTAL DAN FIZIKAL

Apakah aspirasi mereka untuk menghadapi cabaran dalam memperjuangkan hak golongan belia serta bersama-sama terlibat dalam membangunkan negara?

Mengupas hal berkenaan, Bernama mendapatkan pandangan daripada beberapa wakil PBM. Seorang daripada mereka, Nur Najihah Muhaimin, 23, berkata cabaran untuk bergelumang dengan dunia politik memerlukan persiapan daripada segi mental dan fizikal.

Anak muda yang mewakili PBM Teluk Intan, Perak itu berkata dahulu, suara anak muda kurang diberi perhatian atas alasan mereka masih mentah untuk membicarakan soal politik negara.

"Belia sebenarnya adalah golongan yang sentiasa memperjuangkan hak mereka. Jika mereka tidak diberi platform untuk memperkatakan apa yang mereka rasa, mereka mungkin memilih politik jalanan sebagai penyelesaiannya," katanya.

Beliau berkata memperjuangkan hak belia adalah penting bagi memastikan golongan itu tidak berasa terpinggir kerana belia juga merupakan nadi penggerak kepada pembangunan negara.

Nur Najihah berkata walaupun ada pihak meragui kemampuan golongan wanita sebagai pemimpin, persepsi gender sebagai satu halangan tidak mematahkan semangat beliau untuk terus menyuarakan hak belia.

"Mengubah presepsi masyarakat untuk menerima wanita menjadi pemimpin bukan mudah. Bagi saya dengan memberikan contoh terbaik dan berkhidmat dengan cemerlang serta tidak mudah putus asa adalah prinsip yang perlu sentiasa diingat," kata Nur Najihah, yang bertugas sebagai penyelaras pusat pengajian agama di Teluk Intan.

Beliau juga pernah menjadi aktivis Islamic Relief United Kingdom (UK) dan Amnesty Internasional UK.

WAKIL SUARA BELIA

Seorang guru di Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Yeow Cheng Luan, Pahang, Chong Choon Hau, 29, berkata penglibatannya dalam dunia politik adalah untuk membuktikan bahawa kaum Cina juga sentiasa bersama-sama menyumbang membangunkan negara.

"Saya ingin menangkis pandangan yang kononnya belia Cina tidak ambil peduli terhadap isu politik negara.
Saya rasa ini adalah tanggungjawab saya untuk mewakili suara belia Cina serta kaum-kaum lain di Malaysia.

"Saya memang sudah bersedia untuk menghadapi cabaran politik namun saya masih memerlukan panduan dan tunjuk ajar daripada mereka yang berpengalaman," katanya.

Beliau berkata antara isu yang ingin diperjuangkan dalam PBM ialah masalah kebajikan belia melibatkan isu perumahan, peningkatan kos sara hidup dan latihan keusahawanan untuk belia.

Ditanya apakah pendekatan yang akan digunakannya untuk menarik minat belia supaya tidak terjebak dengan aktiviti negatif seperti politik jalanan, beliau berkata: "Pendekatan turun padang paling efektif dan bersifat mesra kerana ia boleh mendekatkan pemimpin bersama rakyat."

Beliau berkata untuk menjadi seorang pemimpin berkaliber mereka harus mempunyai prinsip yang jelas dan jitu serta tidak mudah terpesong dengan dakyah-dakyah negatif.

SISTEM DEMOKRASI NEGARA

Bagi Azrul Ibrahim, 28, kewujudan Parlimen Belia adalah wadah terbaik untuk anak muda untuk mengetahui proses dan sistem demokrasi negara.

Mengakui orang muda agak janggal memperkatakan soal politik malah ada antara mereka yang menolak atau lebih selesa berdiam diri daripada memberikan pendapat mengenai politik negara, beliau berkata PBM adalah satu pendedahan kepada generasi muda mengenai sistem pentadbiran negara.

"Kita tidak mahu belia dipengaruhi dengan elemen negatif sehingga menyebabkan mereka berani turun ke jalanan dan mengikuti perhimpunan yang menyalahi undang-undang negara," kata Azrul, yang merupakan seorang guru di sebuah sekolah di Papar, Sabah.

Wakil PBM dari Melaka, B. Dhanesh, 23, berkata golongan belia yang terlibat dalam PBM sewajarnya menjadi contoh terbaik kepada masyarakat.

Beliau berkata PBM bukan tempat untuk berpolitik sebaliknya medan bagi membincangkan isu-isu berkaitan dengan generasi muda dan berkongsi idea untuk memajukan negara.

Dhanesh, juga Pengerusi Persatuan Pemuda India Negeri Melaka, berkata sudah tiba masa untuk golongan belia berpadu tenaga dan membangunkan negara ke arah kepentingan bersama.

SEMANGAT WAJA

Wakil PBM Wilayah Persekutuan Suhail Mohamed Kamaruddin, 29, pula menyifatkan golongan belia mempunyai daya pemikiran baharu dan sentiasa bersemangat dalam memperjuangkan hak mereka sebagai belia.

Beliau yang pernah menerima Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda: Tahap Perak dan Emas berkata anggota PBM berperanan untuk mendapatkan maklumat sebanyak mungkin berkaitan masalah yang dihadapi rakyat.

"Saya akan menyediakan cadangan atau idea yang mungkin boleh dilaksanakan bagi membantu mereka sama ada melalui saluran pendidikan, ekonomi dan pembangunan sosial," katanya.