Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan Parlimen akan dibubarkan pada hari esok bagi membolehkan proses pilihan raya umum ke-14 (PRU14) bermula.

Perdana Menteri membuat pengumuman itu di pejabatnya di sini sebentar tadi.

Pengumuman tersebut dibuat selepas Perdana Menteri mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong XV Sultan Muhammad V.

"Pengumuman ini dibuat selaras dengan Perlembagaan Persekutuan. Baginda telah memperkenankan bagi Parlimen dibubarkan berkuat kuasa esok," kata Najib dalam pengumuman yang disiarkan secara langsung hari ini.


Berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, Suruhanjaya Pilihan Raya perlu mengadakan pilihan raya dalam masa 60 hari, iaitu sebelum 6 Jun ini.

Pengumuman pembubaran Parlimen itu disiarkan secara langsung melalui televisyen dan Facebook rasmi Najib dari Pejabat Perdana Menteri dan dihadiri Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi serta menteri-menteri Kabinet.

Sejumlah 14.9 juta pemilih berdaftar layak mengundi berdasarkan kepada Daftar Pemilih Suku Keempat 2017 pada tarikh yang akan ditentukan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kelak.