Pesuruhjaya Pas negeri, Ahmad Yahaya menyifatkan keyakinan terbabit adalah bersandarkan semangat kerjasama Muafakat Nasional Pas-UMNO yang kini memiliki 17 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri itu, selain kepincangan dan permasalahan yang berlaku dalam kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PH.
Tambahnya, kredibiliti yang dimiliki bakal calon Menteri Besar dalam kalangan ADUN PAS di mana kebanyakan mereka mempunyai pengalaman besar serta rekod yang bersih dalam pentadbiran era 2008 juga boleh menjadi nilai tambah terbaik ke arah usaha mengepalai pentadbiran baharu di negeri Jelapang Padi itu.
Tegas beliau, kenyataan yang dikeluarkan ADUN Sidam dari PKR, Dr. Robert Ling Kui Ee pada Isnin, yang mempertikaikan keputusan Lembaga Disiplin parti itu memperlihatkan beliau sudah tidak sehaluan dengan kepimpinan PH Kedah.
Menurut Ahmad, ketika ini wujud dakwaan beberapa ADUN PKR lain akan mengikuti langkah beliau sekali gus akan mengurangkan jumlah kerusi penguasaan PH.
Mukhriz yang juga Timbalan Presiden Bersatu juga dilihat berada dalam keadaan yang amat lemah kerana daripada enam ADUN Bersatu Kedah, tidak sampai separuh yang berpihak kepadanya memandangkan banyak kelemahan yang gagal diperbaiki Mukhriz.
Jelas beliau, ADUN-ADUN dalam Bersatu Kedah juga dilihat canggung dengan tindakan kepimpinan parti itu di peringkat negeri yang masih berkerjasama dengan PH untuk menjadi negeri pembangkang dimana ianya diibaratkan seperti melawan arus terhadap keputusan yang dibuat Perdana Menteri di peringkat Pusat.
Susulan itu, Ahmad menggambarkan PH Kedah kini telah tempang dan kehilangan majoriti untuk menerajui kerajaan negeri Kedah di mana perubahan kerajaan negeri sudah tidak dapat dielak dan dibendung lagi.
Pas Kedah kini memiliki 15 kerusi DUN yang merupakan komposisi tertinggi di negeri itu diikuti Parti Keadilan Rakyat dengan 7 kerusi.
Bersatu pula menguasai 6 kerusi DUN diikuti Parti Amanah Negera (4 kerusi), Barisan Nasional (2 kerusi serta DAP (2 kerusi).