Menteri Muda Undang-undang, Hubungan Negeri-Persekutuan dan Pemantauan Projek, Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali menyatakan rasa puas hati beliau dengan kesepakatan yang dicapai dalam mesyuarat hari ini.
"Saya berbesar hati dengan kata sepakat yang dipersetujui dalam mesyuarat tadi," katanya yang menganjur mesyuarat itu bersama pengerusi persatuan, Ranbir Singh Sangha.
Beliau berkata demikian ketika dihubungi Astro AWANI selepas tamat mesyuarat dengan lebih 50 peguam mewakili Persatuan Peguam Sarawak pada Khamis.
Katanya, dengan mengetepikan ideologi politik, barisan peguam hadir berbincang dengan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Abang Johari Tun Openg berhubung tindakan Petronas mengemukakan permohonan penjelasan status mereka dalam Akta Pembangunan Petroleum 1974 di Mahkamah Persekutuan.
Tambah Hasidah, secara konsensus mereka bersetuju mempertahankan isu berkenaan, malah sepakat menubuhkan pasukan petugas khas bagi membantu Peguam Besar Negeri jika diperlukan.
"Ketua Menteri amat gembira dengan pertemuan ini.
" Secara dasar, semua pihak prihatin akan hak dan kepentingan Sarawak dan akan membantu sedaya mungkin," katanya menambah, pasukan itu berikrar memberikan sokongan di belakang Ketua Menteri secara probono yakni tanpa sebarang bayaran.
Abang Johari kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samariang itu turut bertegas mempertahankan isu Petronas walau terpaksa berdepan pelbagai kemungkinan.
Antara peguam terlibat termasuklah Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, John Antau, Mutang Tagal, Dominic Ng, Datuk Idris Buang, Ibrahim Baki, dan See Chee How.
Senua yang hadir diberi ruang bercakap dan bertukar fikiran berhubung tindakan perundangan yang diambil.