Seorang pelajar Malaysia yang kini menuntut di Perancis dan dilaporkan hilang sejak Jumaat lalu, masih belum ditemui.

Kehilangan Norshakinah Naim, pelajar Institute University of Technologi (IUT) Roanne di Paris, disedari rakan sebiliknya selepas telefon bimbit gadis berusia 19 tahun itu berdering tanpa henti dan tidak dijawab.

Kehilangannya bagaimanapun dilaporkan ke Kedutaan Malaysia dua hari kemudian, selepas usaha untuk mengesannya gagal.

Bapa Norshakinah, Naim Awang, 46, memberitahu kali terakhir anak keduanya itu menghubunginya adalah pada 23 September lalu.

"Tiada apa yang pelik, suaranya kedengaran ceria seperti biasa.

"Dia anak yang baik dan bersungguh-sungguh dalam pelajaran," kata Naim ketika ditemui Astro AWANI di sini hari ini.

Naim dan isteri, Nur Haluzah Ahmad, hanya mengetahui kejadian itu selepas menerima panggilan dari pihak kedutaan di Perancis jam 8 pagi semalam, mengatakan anaknya tidak pulang ke rumah dan gagal dikesan.

Difahamkan, keluarga telah mengadakan solat hajat untuk keselamatan Norshakinah, malam semalam.

Norsakinah melanjutkan pelajaran dalam bidang Kejuruteraan Kimia di bawah tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), selepas memperolehi 10A1 dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia tahun lalu.