Keempat-empat mereka, yang ditangkap pada 9 Jun, membayar denda itu melalui peguam mereka pada kira-kira pukul 7 malam ini dan akan dihantar pulang ke negara asal.
Hakim Dean Wayne Daly menjatuhkan hukuman itu terhadap rakyat Britain Eleanor Grace Hawkins, 23; rakyat Belanda Dylan Thomas Snel, 23; dan dua beradik warga Kanada Lindsey Peterson, 23 dan Daniella Anne Louisa Peterson.
Keempat-empat mereka kelihatan tenang ketika tuduhan dibacakan dan mengaku bersalah terhadap tuduhan berbogel di kawasan puncak Gunung Kinabalu pada kira-kira 6.45 pagi, 30 Mei.
Mereka dituduh mengikut Seksyen 294 (a) Kanun Keseksaaan, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi tiga bulan atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
BACA: Polis jejak lima lagi individu bogel
Dua wanita ini adalah antara empat pelancong yang dikenakan hukuman penjara tiga hari dan denda RM5,000 setiap seorang oleh Mahkamah Sesyen. -Foto Bernama
Dalam penghakimannya, Daly berkata mahkamah menerima akuan bersalah mereka sebagai faktor meringankan hukuman, walaupun perbuatan mereka itu mengejutkan negara dan menimbulkan kemarahan orang ramai.
"Masyarakat, terutama di Ranau, tidak senang dengan perbuatan mereka itu kerana mereka menganggap Gunung Kinabalu sebuah tempat suci," katanya.
Kesemua tertuduh diwakili peguam Ronny Cham, manakala Timbalan Pendakwa Raya Jamil Aripin mengetuai pasukan pendakawaan tiga anggota.
Menurut fakta kes, empat tertuduh itu adalah antara 10 pendaki warga asing yang mencabar satu sama lain untuk berbogel bagi membuktikan siapa dalam kalangan mereka yang dapat bertahan daripada cuaca sejuk di puncak gunung itu.
Malim gunung yang mengiringi mereka, Azlan Ramli menasihati mereka agar tidak berbuat demikian, tetapi tidak dipedulikan.
Wanita terbabit hanya menanggalkan baju masing-masing, manakala pelancong lelaki pula berbogel habis.
Ketika merayu agar hukuman diringankan, Cham berkata keempat-empat tertuduh menyesali perbuatan mereka dan sebagai tanda kekesalan itu, mereka bersedia memohon maaf secara terbuka kepada penduduk Sabah dan Malaysia.
"Satu lagi tanda bahawa mereka menyesali perbuatan itu ialah mereka mengaku tidak akan mengulanginya lagi," kata beliau.
Tertuduh dibawa ke kompleks mahkamah pada kira-kira 2.44 petang dengan dua kenderaan pacuan empat roda dan dikawal ketat oleh anggota polis. - Foto Bernama
Cham juga meminta mahkamah tidak mengenakan hukuman penjara kerana tertuduh telah membayar harga yang tinggi atas perbuatan jahil mereka serta publisiti yang diberi terhadap perbuatan mereka itu di peringkat tempatan dan antarabangsa.
Beliau juga menegaskan bahawa tidak terdapat bukti saintifik dan berwibawa yang mengaitkan gempa bumi yang melanda Ranau pada 5 Jun dengan kesalahan yang dilakukan anak guamnya.
Jamil pula meminta mahkamah mengenakan hukuman yang boleh memberi pengajaran, terutama dengan mengambil kira kepentingan awam.
"Banyak orang marah dengan perbuatan yang menimbulkan perasaan jengkel dalam kalangan rakyat itu.
"Malaysia sentiasa mengalu-alukan kedatangan pelawat ke negara ini, tetapi kami mengharapkan mereka menghormati rakyat dan budaya di tempat mereka kunjungi," katanya.
Keempat-empat tertuduh dibawa ke kompleks mahkamah pada kira-kira 2.44 petang dengan dua kenderaan pacuan empat roda dan dikawal ketat oleh anggota polis.
Petugas media tempatan dan asing berebut-rebut untuk merakam gambar mereka. Hawkins mamakai kemeja T berwarna merah manggis dan berseluar jean, Snel berkemeja putih dan jean, Lindsey berbaju biru muda dan jean, manakala Daniella berbaju T gelap dan jean.
BACA: Empat warga asing berbogel di Gunung Kinabalu ditahan reman
BACA: 'Jangan hina asal-usul, kepercayaan nenek moyang kami' - Rakyat Sabah