Ketika disahkan positif COVID-19 pada pertengahan Mac lalu, pandangan lelaki ini terhadap aspek kehidupan berubah sama sekali.

Ia begitu meninggalkan kesan di jiwa Khairol Najmi Roslan, 30 tahun, sehingga dia nekad mahu menjadi manusia yang lebih baik dari sebelumnya.

Kini, Khairol Najmi bebas sepenuhnya dari wabak maut itu setelah menjalani rawatan dan proses kuarantin di hospital, dan kembali pulih.

Bercerita lanjut bagaimana dia dijangkiti, penjawat awam yang tinggal di Ipoh itu berkata, dia disahkan positif COVID-19 selepas pulang melancong dari luar negara pada Mac.

Selepas pulih, dia berazam membantu golongan yang memerlukan, khususnya mereka yang tidak mempunyai wang untuk membeli makanan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).


Rakan-rakan Khairol Najmi turut membantu menyampaikan sumbangan kepada golongan gelandangan. - Astro AWANI

Dia turut mendapat sokongan beberapa orang persendirian dan syarikat yang mahu sama-sama menyumbang wang tunai dan barangan keperluan asas kepada golangan gelandangan, selama mana tempoh PKP berjalan.

"Hari ketiga diperiksa, saya negatif. Saya rasa dapat satu semangat baru apabila sudah sembuh dari COVID-19 ini, sebah penyakit ini boleh membawa maut.

"Jadi, kita pun sujud syukur untuk kehidupan baru ini. Rasa macam dapat hidup yang kedua selepas itu, dan rasa hendak membantu orang-orang yang tidak mampu," katanya.


Khairol Najmi bersama kawan-kawan menyampaikan bantuan makanan kepada golongan gelandangan sekitar Ipoh. - Astro AWANI

Khairol Najmi ditemui pada Jumaat ketika menyampaikan bantuan makanan kepada golongan gelandangan sekitar Ipoh, bersama beberapa orang kawan-kawan yang turut menghulur sumbangan.

"Kawan-kawan pun turut membantu. Gelandangan ini lebih memerlukan kerana mereka tiada rumah. Jadi, kita utamakan mereka," katanya.

Khairol Najmi menambah, sumbangan tersebut dibuat mereka secara berterusan, juga untuk golongan sasaran lain, sehingga tempoh PKP tamat.

Dia juga berharap lebih ramai individu atau badan bukan kerajaan yang tampil membantu pihak yang terjejas teruk akibat penularan wabak tersebut.