Pada tanggal 11 Disember, 1993, bangunan Blok 1 Kondominium Highland Towers yang terletak di Taman Hillview, Hulu Klang tumbang tepat jam 1.35 petang.

Kondominium yang dibina pada 1974 mula diduduki oleh penghuninya tujuh tahun kemudian, menjadi pilihan orang ramai untuk mendiaminya kerana lokasinya yang terletak di lereng bukit dan dikelilingi dengan kehijauan hutan berhampiran kondominium itu.

Namun, rebahnya bangunan 12 tingkat itu dalam masa tidak sampai lima minit menyebabkan 48 penghuni blok tersebut terkorban manakala hanya tiga mangsa sahaja yang berjaya dibawa keluar dari runtuhan.

Namun, dari tiga mangsa tersebut - seorang pembantu rumah warga Indonesia, Umi Rashidah Khoruman, 22 dan anaknya Nur Hamidah Najib, 18 bulan sahaja yang terselamat manakala seorang mangsa lagi, Shizue Nakajima, 50, warganeagara Jepun meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Hari ini, genap 20 tahun peristiwa tersebut berlaku dan apakah yang telah kita pelajari selepas dua dekad peristiwa itu berlaku dan oleh itu, rata-rata pengguna media sosial Facebook dan Twitter menganggap rakyat Malaysia terutama pihak berkuasa tempatan dan pemaju masih lagi tidak mengambil iktibar dengan apa yang telah berlaku dengan tragedi Highlands Towers.

Seorang pengguna Twitter mengatakan bahawa, meskipun kejadian yang berlaku itu sudah dua dekad berlalu masih wujud juga kejadian-kejadian seumpama itu seperti bumbung stadium dan hospital runtuh.



Melalui laman Facebook juga, ramai meluahkan bahawa sikap tamak dan tidak bertanggungjawab pihak berkuasat tempatan yang bersekongkol dengan pemaju pemaju projek perumahan dalam mendirikan projek-projek perumahan di lereng bukit adalah salah satu punca kejadian-kejadian seumpama ini tetap terus berlaku.

Selain itu juga, pembangunan yang dilakukan banyak merosakkan alam sekitar dan kealpaan penyelengaraan terhadap cerun-cerun berbukit menambahkan lagi potensi kepada sebuah lagi tragedi yang bakal memakan korban yang tidak berdosa.

Malah, Astro AWANI juga pernah menyingkap kembali tragedi yang bakal menjadi ipatan sejarah duka rakyat Malaysia itu melalui sebuah rancangan 'First page' yang disiarkan beberapa bulan lalu.