KENYATAAN MEDIA UCAPAN TAKZIAH KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) ingin melahirkan rasa dukacita dan mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Haji Adenan bin Haji Satem, Ketua Menteri Sarawak yang telah kembali ke rahmatullah pada 11 Januari 2017.

Pemergian Allahyarham adalah satu kehilangan besar kepada negara dan negeri Sarawak khususnya. Sesungguhnya jasa dan bakti Allahyarham amat besar dan memberi kesan mendalam khususnya kepada senario politik dan pentadbiran negeri.

Semasa hayat beliau, Allahyarham adalah seorang tokoh politik dan pemimpin yang amat disegani dan dihormati oleh semua pihak menerusi idea dan pembaharuan yang dibawa oleh beliau.

Sepanjang memegang tampuk pentadbiran sebagai Ketua Menteri Sarawak, Allahyarham telah banyak menyokong usaha yang dilakukan oleh KPM menerusi kehadiran dalam setiap program yang dianjurkan oleh kementerian ini.

Malah Allahyarham mempunyai karektor yang cukup hebat dengan mengubah lanskap negeri Sarawak khususnya dalam politik, pembangunan, pendidikan dan masa depan anak-anak rakyat negeri Sarawak.

KPM mendoakan agar roh Allahyarham YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Haji Adenan bin Haji Satem dicucuri rahmat serta ditempatkan dalam kalangan mereka yang bertakwa.