Peseta himpunan #justice4MH17 meneriakkan keadilan untuk keluarga mangsa nahas penerbangan MH17. -AstroAWANI/Shahir Omar
KUALA LUMPUR: Pemuda Barisan Nasional (BN) bertekad akan terus memberi tekanan kepada pihak-pihak berkenaan selagi keadilan terhadap keluarga mangsa nahas penerbangan MH17 tidak ditegakkan.
Timbalan pengerusinya, Khairul Azwan Harun menegaskan mahu supaya dalang disebalik insiden yang mengorbankan 298 nyawa itu didakwa dan dikenakan hukuman secukupnya.
Katanya, penyerahan kotak hitam dan jenazah mangsa tidak mencukupi kerana keadilan terhadap keluarga mangsa dan anak kapal perlu menjadi keutamaan.
Klik untuk galeri foto 'Kebenaran dan keadilan untuk MH17'
"Pemulangan dua kotak hitam dan jenazah mangsa tidak mencukupi, sebaliknya keadilan mesti ditegakkan dalam usaha kita mencari siapakah penjenayah sebenar.
"Kami mahu penyangak dan penjenayah sebenar dihadapkan ke muka pengadilan.
"Kami minta tiada mana-mana negara melindungi penjenayah ini," katanya selepas menyerahkan memorandum menuntut keadilan untuk MH17 kepada duta Ukraine.
Selain itu, Khairul Azwan juga menegaskan Pemuda BN mendesak supaya sebuah badan siasatan bebas ditubuhkan dan perlu dianggotai oleh wakil dari negara-negara yang mana rakyatnya menjadi mangsa nahas MH17.
"Badan siasatan itu perlu dianggotai oleh wakil dari negara-negara yang mana rakyatnya menjadi mangsa nahas MH17.
"Ini untuk memastikan siasatan benar-benar bebas dan keadilan dapat ditegakkan," katanya.
Sebelum menyertai himpunan #Justice4MH17 di depan kedutaan Ukraine, Khairul Azwan dan beberapa wakil pemuda BN turut menyerahkan memrandum di pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan di kedutaan Rusia.
Berarak ke kedutaan Ukraine demi keadilan untuk MH17. -AstroAWANI/Shahir Omar
Peserta perhimpunan seramai kira-kira lebih 2000 orang itu berpakaian baju-T hitam dengan tulisan #PrayForMH17 dan memegang beberapa sepanduk.
Antara tulisan yang tercatat di sepanduk itu ialah "The world is not interested in the game between Russia and Ukraine" (Dunia tidak berminat dengan permainan antara Rusia dan Ukraine), "We mourn for MH17, We pray for Gaza" (Kami bersedih untuk MH17, Kami berdoa untuk Gaza), dan "Malaysians demand the truth #MH17" (Malaysia mahukan kebenaran #MH17).
Sami Buddha antara yang turut berarak ke kedutaan Ukraine menuntut keadilan bagi MH17. -AstroAWANI/Shahir Omar
Mereka turut menyanyikan lagu kebangsaan pada awal perhimpunan dan turut melaungkan berulang-ulang kali "Kami mahukan keadilan" depan pintu masuk kedutaan.
Turut hadir pada demonstrasi tadi adalah Ketua Pemuda MCA, Senator Chong Sin Woon.