Penahanan bekas eksekutif PetroSaudi International Ltd, Xavier Andre Justo disifatkan bakal membuka lebih banyak pendedahan isu salah laku syarikat pelaburan strategik negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kepada masyarakat.

Bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berkata, ia juga dilihat usaha serta konspirasi tertinggi pihak tertentu untuk mengalih pandangan rakyat terhadap skandal 1MDB.

"Kaedah ini adalah jalan yang terbaik untuk mengalih serta memesongkan pandangan rakyat dari isu skandal 1MDB pada saat kepimpinan tertinggi negara tidak boleh menjawab semua persoalan yang timbul kebelakangan ini.

"Justo mengaku tidak bersalah dan telah mengambil peguam untuk membelanya di mahkamah kelak. Hairan kerana ada kenyataan kononnya semua dokumen mengenai isu itu dipalsukan tidak sampai beberapa minit setelah Justo ditahan polis Thailand.

"Siasatan belum dijalankan oleh pihak polis Thailand pada waktu itu.

Apa bukti yang ada untuk menyatakan bahawa semua dokumen telah dipalsukan oleh Justo?" katanya kepada Astro AWANI di sini, hari ini.

BACA: Andaian dokumen 1MDB diubahsuai dibuat berdasarkan logik - Wan Junaidi

Khairuddin mengulas kenyataan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang berkata, tanggapan bahawa dokumen yang dibocorkan Justo, telah diubahsuai dibuat berdasarkan andaian yang logik.

Kata Wan Junaidi, pihaknya tidak dapat membuat andaian lain selain ianya telah diubahsuai kerana dokumen perjanjian antara PetroSaudi dan 1MDB itu datang dari Justo sendiri.

BACA: Kes Xavier Justo: PDRM bekerjasama dengan polis Thailand, kata KPN

Dalam pada itu tegas Khairuddin, kerajaan harus segera menyaman portal media yang dikatakan menerima maklumat palsu mengenai 1MDB.

"Ada kenyataan dari polis Thailand yang menyatakan bahawa penahanan Justo adalah atas dasar ugutan terhadap bekas majikanya bukan kerana memalsukan dokumen serta membocorkan matlumat palsu.

"Kalau kerajaan sudah mendapat matlumat dari polis Thailand, kenapa tidak saman terus media yang berkenaan?

"Kerajaan diminta mengekstradisi individu yang dikatakan berulang alik ke Thailand dan kononnya mempunyai hubungan dengan Justo, namakan juga mereka ini minta bantu proses siasatan di sana," jelasnya.

BACA: PetroSaudi: 'Tunggu dulu laporan dan pengesahan Thailand' - Najib

Khairuddin menambah, kerajaan juga diharap tidak memainkan isu bersifat pra-penghakiman sebelum menunggu laporan lengkap daripada polis Thailand.

"Tolong sabar serta menunggu laporan lengkap dari polis Thailand terlebih dahulu untuk mengkaji unsur-unsur penahanan Justo. Kerajaan jangan terlalu gembira serta membuat andaian yang bersifat pra-penghakiman kerana Justo belum dihadapkan ke mahkamah lagi.

"Saya akan sabar menunggu laporan penuh hasil siasatan ke atas Justo serta bakal meneliti keputusan penghakiman ke atasnya. Sikap yang melangkaui undang-undang amatlah dikesali," ujarnya.

BACA: Kes Xavier Justo: Kenapa pengkritik Najib perlu minta maaf? - Dr Mahathir

Pada Isnin, Tun Dr Mahathir Mohamad mengetepikan dakwaan bahawa pengkritik Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak perlu memohon maaf berikutan penahanan Justo.

Menerusi laman blog chedet.cc, bekas perdana menteri itu berkata isu utama adalah mengenai usaha sama antara 1MDB dan PetroSaudi bernilai AS$1.9 bilion (RM7.2 bilion) yang digugurkan selepas enam bulan.