Menurut kenyataan Tenaga Nasional Berhad (TNB), kejadian dipercayai berlaku apabila perancah tapak lantai (staging for floor slab) di tingkat tiga runtuh ketika kontraktor sedang melakukan kerja-kerja menuang konkrit di tingkat tersebut.
Tahap kerosakan akibat runtuhan dan punca berlakunya runtuhan masih dalam siasatan.
Sementara itu, pihak MRT Corp memaklumkan kejadian runtuhan substesen itu tiada kaitan dengan projek MRT.
“Tiada kerja pembinaan di bawah MRT Corp atau kontraktor berkaitan di lokasi berkenaan. Projek di substesen itu dikendalikan oleh TNB dan bukan sebahagian daripada projek MRT,” kata Pengarah Perhubungan Awam MRT Corp, Datuk Najmuddin Abdullah.
“Tidak ada lagi kerja pembinaan sedang dijalankan oleh MRT Corp atau mana-mana kontraktornya di tapak Stesen MRT Cochrane. Jadi, substesen yang kini sedang dibina oleh Tenaga Nasional Berhad bukan sebahagian daripada Projek MRT,” kata beliau lagi.
“Substesen tersebut terletak bersebelahan dengan Stesen MRT Cochrane, jadi substesen itu menggunakan nama berdasarkan lokasi ini,” jelasnya.
Beliau menambah projek di substesen itu dipercayai satu projek menaik taraf bekalan elektrik di kawasan tersebut.
Dalam pada itu Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pudu, Armdan Mahad mengesahkan pekerja warga Bangladesh yang maut berusia sekitar 20an dan sehingga pukul 12 tengah malam tadi usaha untuk mengeluarkan mayat mangsa masih diteruskan.
"Sejumlah 30 anggota bomba dikerahkan bagi membantu usaha-usaha membersih dan menyelamat. Selain bomba, anggota dari RELA, Polis dan Jabatan Pertahanan Awam turut membantu.
"Ketika kejadian terdapat lima pekerja di lokasi namun empat daripada mereka terselamat tanpa sebarang kecederaan," katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian.
Mangsa yang maut dipercayai sedang menjalankan kerja-kerja memampatkan simen sebelum struktur runtuh menyebabkan mangsa tertimbus.
Turut dimaklumkan hanya lantai di tingkat tiga yang runtuh, dan ia hanya melibatkan 20 peratus dari keseluruhan lantai.
Kerja-kerja mengeluarkan mangsa dijangka mengambil masa kerana terdapat banyak cerucuk dan perancah (scaffolding) yang boleh membahayakan pekerja penyelamat jika tidak dilakukan dengan teliti.