Pencinta haiwan, Muhammad Azmi Ismail atau lebih dikenali dengan gelaran Pak Mie meninggal dunia selepas mengalami pendarahan otak dan angin ahmar di Hospital Ampang, Selangor semalam.

Laman Facebook Pak Mie Shelter pada 19 Mac mengumumkan Pak Mie telah menjalani pembedahan di bahagian kepala tetapi harapan untuk beliau pulih adalah tipis.

f

Di dalam satu lagi status laman Facebook itu semalam, ia diumumkan bahawa Pak Mie menghembuskan nafas terakhir pada pukul 11.30 malam.

Selepas status tersebut dimuat naik, laman Facebook tersebut menerima banyak ucapan takziah dari semua lapisan masyarakat berbilang kaum.

Stephanie Lee Ching Ling berkata ‘Takziah. Kami akan merinduimu tapi kami tahu kamu di Syurga sekarang.’

KLIK: 'Pak Mie, bawa cinta anjing dan kucingmu ke syurga'

Hashidah Ahmad pula berkata ‘Alfatihah. Seorang hamba Allah yg sangat mulia hati rohaninya.’

Suran Theran berkata ‘Rest in peace, pak cik. Biasanya orang yang buat baik tak akan tinggal lama dalam dunia. Kesian dengan anjing dan kucing, mesti mereka akan cari mana pak cik.’

Pak Mie, yang memelihara kira-kira 700 anjing dan lebih 100 kucing terbiar yang dikutip bersama isterinya, Halija Idris, atau lebih dikenali sebagai Mak Intan, mengundang pelbagai kontroversi ekoran cemuhan masyarakat kerana hukum Islam yang melarang pembelaan anjing.

Walaupun pernah dicemuh kerana hobinya yang gemar memelihara anjing, Pak Mie pernah dilaporkan berkata, "saya sudah lali dicemuh, tetapi sifat menyayangi haiwan membuatkan saya dan isteri sentiasa tabah berdepan cabaran’.

Namun, ada sebahagian besar masyarakat yang menyanjung tinggi perbuatan Pak Mie dan menganggap perbuatannya itu amat mulia.

Jenazah Pak Mie dikebumikan di Masjid Al-Bukhary di Alor Malai, Kedah, pada kira-kira jam 11pagi Isnin.