Hari ini dan esok berlangsung pendengaran rayuan terakhir pemimpin pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim di Mahkamah Persekutuan Putrajaya terhadap sabitan kesalahan dan hukuman penjara yang dikenakan Mahkamah Rayuan pada 7 Mac tahun ini selepas mendapatinya bersalah meliwat Mohd Saiful Bukhari Azlan, 27.

Sesi pendengaran panel lima hakim akan diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria.

Hasil tinjauan Astro AWANI mendapati kumpulan penyokong Anwar dan pemerhati tiba seawal pukul 7 pagi tadi bagi memberikan sokongan kepada beliau.

Suasana sekitar mahkamah bagaimanapun dikawal ketat oleh pasukan keselamatan yang bertugas.




Anwar Ibrahim


LIHAT INFOGRAFIK KRONOLOGI KES LIWAT II, ANWAR IBRAHIM


Antara yang tiba memberikan sokongan kepada Anwar adalah Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali yang juga Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat.



Anwar tiba sekitar jam 8.54 pagi tadi.

Anwar memberitahu wartawan yang beliau telah bersedia untuk menerima apa sahaja keputusan rayuan itu nanti.

Anwar Ibrahim
Anwar tiba sekitar jam 8.54 pagi tadi - Foto Astro AWANI

Dia dilihat memasuki kamar mahkamah sekitar 8.55 pagi, diiringi isteri, Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah dan anak-anaknya termasuk Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah.


Lapor Bernama, Peguambela Anwar, Sulaiman Abdullah telah menarik diri dari pasukan pembelaan dengan atas sebab masalah kesihatan. Anwar diwakili oleh 14 peguam.

Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mengetuai pasukan pendakwaan dengan dibantu oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria.

Panel lima hakim itu kini mendengar hujahan daripada pasukan pembelaan terdiri daripada 14 peguam mewakili Anwar, diketuai Datuk Seri Gopal Sri Ram, bekas hakim Mahkamah Persekutuan.

Empat hakim lain ialah Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Shariff dan hakim-hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Tan Sri Abdull Hamid Embong, Tan Sri Suriyadi Halim Omar dan Datuk Ramly Ali.

Mahkamah juga akan mendengar rayuan balas pihak pendakwaan untuk menambah hukuman penjara yang dikenakan ke atas Anwar.

Sementara itu sedikit kekecohan dilaporkan tercetus selepas salah seorang yang hadir membakar sehelai t-shirt.






PEGUAM BELA ANWAR PERSOAL KEWUJUDAN BAHAN PELINCIR DALAM PERBUATAN LIWAT

SESI RAYUAN TERAKHIR KES LIWAT II DATUK SERI ANWAR IBRAHIM DILANJUT