Pengasas Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown telah memutarbelitkan fakta berkaitan isu-isu di Malaysia semasa ditemu ramah stesen televisyen yang berpangkalan di United Kingdom, Sky TV baru-baru ini, kata Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Menteri Komunikasi dan Multimedia itu berkata, semasa ditemu ramah Brown sekali lagi cuba menggambarkan dirinya sebagai pejuang kebenaran dan keadilan tetapi tidak mengubah fakta bahawa artikel yang diterbitkannya tidak disokong oleh bukti yang sah.

"Malah terdapat bukti yang telah diubah dan dipalsukan. Kami tahu 'bukti' ini tidak jatuh dari langit...jadi bagaimana dia boleh mendapatkannya?" soal Salleh dalam entri terbaru blog beliau hari ini.

Antara lainnya, Salleh berkata, Brown bercakap seolah-olah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sudah didapati bersalah atau didakwa melakukan jenayah.

Katanya, sebagai wartawan veteran Brown perlu berpegang pada prinsip asas undang-undang bahawa seseorang tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya.

"Dia bagaimanapun bercakap seolah-olah bukti itu sudah konklusif dan dia tahu bahawa perdana menteri bersalah hanya kerana dia yang kata demikian. Clare adalah hakim, juri dan sang algojo sekali gus," kata Mohd Salleh.

Menteri Komunikasi dan Multimedia itu berkata, Brown semasa ditemu ramah telah sengaja mengelirukan khalayak dengan mengatakan bahawa kerajaan menyumbat penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim ke dalam penjara melalui pendakwaan palsu.

"Namun dia tidak menyatakan bahawa Anwar enggan memberi keterangan semasa perbicaraan dan dia juga tidak mengemukakan para saksinya sendiri kepada mahkamah untuk menyokong alibinya.

"Malah Anwar tidak mengemukakan alibi," jelas beliau.

Pada satu tahap, Mohd Salleh berkata, Brown cuba mengelirukan khalayak dengan mengatakan pakatan pembangkang sepatutnya membentuk kerajaan hanya kerana mereka memenangi lebih 50 peratus undi.

"Saya terkejut Brown tidak sedar bahawa dalam sistem berparlimen Westminster, hanya parti yang menang kerusi terbanyak yang akan membentuk kerajaan dan bukannya parti yang menang undi terbanyak.

"Adakah ini tidak berlaku di UK semasa dua pilihan raya yang lepas?" soal beliau.

Beliau menegaskan Brwon sepatutnya lebih bersikap telus dengan maklumat dana yang diperoleh Sarawak Report.