Satu saluran mengundi di Bilik Gerakan, Balai Polis Membakut di sini mula dibuka 8 pagi ini bagi membolehkan sembilan pengundi awal melibatkan anggota polis menunaikan hak mereka pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis.

Pusat pengundian awal itu dibuka selama empat jam sehingga 12 tengah hari.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), proses pengundian awal itu akan disaksikan oleh ejen calon serta Pemerhati Pilihan Raya yang dilantik SPR.

SPR juga akan menyiarkan proses pengundian berkenaan secara penstriman langsung menerusi Facebook SPR.

Semua peti undi bagi pengundian awal akan disimpan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort, dan pengiraannya akan dibuat pada hari pengundian, 18 Jan ini di pusat pengiraan undi berkelompok di Bilik Mesyuarat 2, Pejabat Daerah Beaufort.

PRK Parlimen Kimanis menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Karim Bujang dan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Mohamad Alamin.

SPR menetapkan hari mengundi PRK Kimanis pada 18 Jan.

Parlimen Kimanis mempunyai dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) - Bongawan dan Membakut - dengan jumlah 29,664 pemilih layak mengundi, termasuk sembilan pengundi awal dan seorang pengundi tidak hadir yang berada luar negara.

Pemilih terdiri daripada 14,800 lelaki dan 14,864 perempuan dengan DUN Bongawan mempunyai 16,273 pemilih dan DUN Membakut 13,391 pemilih.

-- BERNAMA