Terkejut dan terkilan. Itu antara perasaan pengunjung Taman Rimba Ampang dengan penutupan taman rekreasi itu bagi kerja-kerja pembinaan Lebuh Raya Lembah Klang Timur (EKVE).

Tindakan itu nyata mendapat bantahan dan harapan akhir mereka kini agar pihak bertanggungjawab mengambil langkah bagi memelihara khazanah alam semula jadi itu.

Antara mereka adalah, Nur Jannah Nazir, 61, yang mula mengunjungi taman rekreasi itu sejak berusia 32 tahun.

Kini, seorang nenek kepada lapan orang cucu, Taman Rimba Ampang tetap menjadi tempat beriadah bagi tiga generasi dalam keluarganya.

"Memang sejak bujang lagi hinggalah mempunyai lapan anak dan kemudian lapan cucu, saya selalu membawa mereka ke sini untuk bersantai dan meluangkan masa bersama keluarga," katanya yang kelihatan cukup riang bermain dalam air sungai bersama cucunya.

Jannah turut tidak dapat menerima hakikat bahawa tempat yang menyimpan banyak kenangan lama itu, bakal ditutup.

"Sayang sekali.. untuk anak-anak seluruh Kuala Lumpur selalu datang main di sini. Di mana lagi nak main kan? Makcik rasa ini adalah khazanah Allah. Sesuai untuk budak-budak main kat sini, orang dewasa juga dapat bersantai," katanya lagi.

Antara kawasan hijau yang masih kaya dengan khazanah alam flora dan fauna dapat ditemui di Taman Rimba Ampang
Keindahan alam semula jadi seperti ini hampir tiada lagi di sekitar ibu negara. Adakah hamparan tanah ini juga akan menjadi mangsa kepada pembangunan? - Foto Astro AWANI/Tan Su Lin


Bagi Mohd Luqman Hakim Kamarulzaman, 17, pula, air sungai yang jernih dan bersih di taman itu menjadi lokasi kegemarannya bersama rakan-rakan berenang pada hujung minggu.

Apabila diberitahu mengenai penutupan taman rekreasi itu untuk kerja-kerja membina lebuh raya, anak muda itu nyata terkilan.

"Saya rasa tidak patut bina lebuh raya di sini sebab tempat ini ramai orang mandi manda. Susah kalau tempat ini ditutup. Memang ramai orang suka tempat-tempat seperti ini untuk beriadah dan bermandi manda," katanya.

Turut kesal dengan berita berkenaan adalah Masrita Masdin, 36, yang tinggal di pangsapuri berhampiran taman berkenaan.

Surirumah itu membawa anak-anaknya menaiki motorsikal ke taman rimba itu setiap hari.

"Hari-hari saya datang membawa anak-anak saya ke sini sebab inilah taman rekreasi terdekat dengan rumah. Nak jumpa air sungai yang bersih dan jernih seperti ini memang susah dah sekarang," katanya.

Taman Rimba Ampang dengan penutupan taman rekreasi itu bagi kerja-kerja pembinaan Lebuh Raya Lembah Klang Timur (EKVE).
Notis pemberitahuan yang menyatakan Taman Rimba Ampang akan ditutup sementara bagi membina Lebuhraya East Klang Valley Expressway (EKVE) - Foto Astro AWANI/Tan Su Lin


Tinjauan Astro AWANI di Taman Rimba Ampang mendapati notis ditampal memberitahu taman rekreasi itu akan ditutup sementara dari 5 Januari 2016 sehingga 5 Mei 2019.

Ia bagi memberi ruang kepada kerja-kerja pembinaan lebuh raya EKVE.

Bagaimanapun, ia belum ditutup sepenuhnya berikutan beberapa pengunjung kelihatan masih menikmati khazanah alam semula jadi di taman rekreasi itu.

Astro AWANI menghubungi Jabatan Perhutanan Negeri Selangor dan syarikat pemegang konsesi EKVE, namun kedua-dua pihak memaklumkan belum bersedia untuk memberi sebarang kenyataan berhubung penutupan Taman Rimba Ampang.