Kelonggaran itu juga hanya dihadkan 12 orang jemaah bagi satu-satu masjid.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MAIPK, Shahrul Azam Shaari, solat Jumaat dibenarkan diadakan di masjid dan surau diri Jumaat di negeri Perak, mulai esok (15 Mei).
Katanya, kebenaran itu telah mendapat perkenan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang berpandukan pandangan Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak.
Menurutnya, selain bilangan jemaah tidak melebihi 12 orang, termasuk imam dan khatib, beberapa syarat lain juga perlu dipatuhi.
“Pengerusi Jawatankuasa Kariah hendaklah mengenal pasti, dan menetapkan bahawa jemaah yang dibenarkan hadir terbatas kepada kalangan Ahli Jawatankuasa Kariah dan Pegawai masjid/surau.
“Tidak digalakkan warga yang berusia lebih daripada 60 tahun untuk hadir berjemaah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Selain itu, kata Shahrul Azam, setiap jemaah hendaklah membuat pemeriksaan suhu badan, sanitasi tangan dan merekodkan kehadiran di dalam buku kehadiran di samping mengambil wuduk sebelum hadir ke masjid dan membawa sejadah masing-masing.
“Mereka yang mempunyai gejala seperti demam, sesak nafas, sakit tekak dan selesema tidak dibenarkan hadir.
“Begitu juga mereka yang mempunyai sejarah kesihatan seperti kencing manis, darah tinggi, lelah, penyakit barah, dan sebagainya, juga tidak dibenarkan hadir,” ujarnya.
Syarat-syarat lain ialah:-
- Jawatankuasa Kariah Masjid dan surau diri Jumaat dibenarkan untuk menggunakan pembesar suara luar semasa bacaan teks khutbah dan takbir untuk manfaat ahli-ahli kariah di sekitar masjid dan surau;
- Tempoh masa bermula azan, khutbah hingga selesai Solat Jumaat, begitu juga tempoh mula bertakbir hingga selesai khutbah Solat Aidilfitri di dalam masjid dan surau dihadkan tidak melebihi 20 minit;
- Penyusunan saf dan kedudukan dalam masjid atau surau diri Jumaat hendaklah mematuhi prosedur yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia; dan
- Para jemaah hendaklah bersurai dan tidak mengadakan sebarang jamuan makan minum di masjid/surau selepas selesai urusan Solat Sunat Aidilfitri.
“Masjid dan surau diri Jumaat yang tidak berupaya atau gagal untuk memenuhi kesemua syarat dan panduan yang ditetapkan, tidak dibenarkan untuk melaksanakan Solat Jumaat dan Solat Sunat Aidilfitri berkenaan,” katanya.
Menurutnya, teks khutbah hendaklah ringkas dan padat, dengan masa penyampaian tidak melebihi 10 minit, disediakan oleh Jabatan Agama Islam Perak (JAIPK).
Katanya, JAIPK akan mengeluarkan satu garis panduan kaedah pelaksanaan solat Jumaat dan solat sunat Aidilfitri kepada semua Pengerusi Jawatankuasa Kariah Masjid dan surau diri Jumaat di negeri Perak serta selanjutnya menyelia dan memastikan garis panduan dipatuhi.
Menurut Shahrul Azam, arahan dan ketetapan itu terpakai dan berkuat kuasa serta-merta sehingga dikeluarkan apa-apa arahan baharu daripada MAIPK.